|
Keupayaan MB Perlis Akan Dinilai Sekretariat Khas
KANGAR, 8 Mac (Bernama) -- Tahap kepimpinan dan keupayaan Datuk Seri Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis akan dinilai oleh sebuah sekretariat yang diwujudkan di sini hari Isnin.
Untuk tujuan itu, sekretariat yang dikenali sebagai Majlis Tindakan Anak Perlis (MANTAP), akan melakukan kaji selidik melibatkan 10,000 responden bermula esok.
Pengerusi MANTAP, Datuk Hashim Suboh, memberitahu pemberita hari ini bahawa lapan soalan dikemukakan dalam kaji selidik itu termasuk penampilan dan gaya, kepimpinan, wawasan, keaktifan, pendampingan dan pembangunan.
Turut disenaraikan dalam kaji selidik itu ialah kegiatan kebajikan serta perbandingan antara Md Isa, yang telah dua tahun menerajui kerajaan Perlis, dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.
"Kami akan menjadikan kaji selidik itu sebagai asas penilaian terhadap kepimpinan menteri besar yang baru," kata Hashim.
Menurutnya hasil kaji selidik itu akan diumumkan kepada orang ramai pertengahan bulan ini.
"Jika majoriti responden menyukai Md Isa, kami akan turut memberi sokongan yang sama dan jika sebaliknya, kami akan mengemukakan kehendak rakyat kepada istana," kata Hashim.
Katanya penubuhan MANTAP hari ini adalah pada genap dua tahun pilihan raya umum ke-12 berlangsung dan ia bermakna telah dua tahun rakyat melihat kepimpinan Md Isa dan beliau boleh dinilai.
"Kami ingin menjadi jurubicara rakyat. MANTAP akan menjadi platfom rasmi suara rakyat untuk disampaikan kepada kepimpinan negara dan istana," kata Hashim.
Katanya selepas selesai tugas kaji selidik, MANTAP akan didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan.
"Pada masa ini, MANTAP hanya merupakan sebuah sekretariat," katanya.
-- BERNAMA
sumber : berita harian 9/3/2010 |
|