Fattah nafi bercinta dengan Azrinaz
KUALA LUMPUR 8 Mac - Pelakon terkenal, Fattah Amin menafikan dia menjalin hubungan dengan seorang wanita bergelar VVIP yang dipercayai merujuk pada personaliti terkenal, Azrinaz Mazhar Hakim.
Menurut aktor itu, laporan yang mendakwa dia mempunyai hubungan dengan Azrinaz itu adalah fitnah semata-mata.
Sehubungan itu, bintang utama drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot itu menegaskan, dia terpanggil untuk membuat penafian apabila laporan berkenaan disebarkan tanpa sebarang asas.
“Hari ini membuatkan saya sebagai orang yang difitnah terpanggil untuk membuat satu kenyataan kerana perkara ini adalah satu benda yang tidak betul dan tidak pernah berlaku. 
“Sejujurnya saya agak terkilan dengan mengaitkan saya bersama individu VVIP dan ia sama sekali tidak benar. Pada mulanya saya cuba untuk mengambil langkah berdiam dan tenang, cuma lama kelamaan cerita tidak berasas ini semakin berleluasa dan saya terpanggil untuk membetulkan keadaan,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan sebentar tadi. Pada masa sama, Fattah meminta kerjasama semua pihak agar tidak memanjangkan perkara yang tidak berasas sehingga jatuh fitnah. “Secara tidak langsung ianya akan mendatangkan kesan yang tidak baik kepada individu itu sendiri. Hanya kerana tuan empunya badan datang ke kafe saya sebagai pelanggan kafe dan memuat naik status di laman sosial Instagram timbul isu yang saya sedang mengenali seorang wanita VVIP. “Sedangkan pada hari dan waktu yang sama wanita itu “CP (Cik Puan) Azrinaz” datang bersama kawan-kawannya dan yang lain juga membuat benda yang sama iaitu memuat naik gambar saya bersama mereka dan persoalannya kenapa ada isu dan tuduhan itu terhadap saya dan dia,” jelas Fattah lagi. Menurut Fattah juga, kehadiran Azrinaz ke kafe yang diusahakannya dan mengambil foto kenangan tidak sepatutnya menjadi bualan atau isu kerana tindakan itu adalah satu perkara yang sering juga dilakukan oleh peminat-peminatnya. “Mungkin kerana “CP Azrinaz” adalah selebriti, itu yang dijadikan satu bahan bualan sehingga jadi fitnah. Tetapi hal ini tidaklah membuatkan saya marah atau terlalu kecewa tetapi sekadar memperbetulkan keadaan dan memberitahu hal yang sebenar supaya isu ini tidak timbul lagi.” katanya lagi. Fattah turut mengharapkan peminat-peminat akan terus memberi sokongan pada kerjaya seninya dari aspek positif serta jangan mudah percaya dengan gosip-gosip yang tidak berasas. “Mungkin isu ini timbul kerana saya pun masih tiada teman istimewa dan “CP Azrinaz” pun masih solo lagi,” ujar Fattah. Dalam kenyataan yang sama, Fattah memberitahu, dia akan membuat pengumuman istimewa pada 15 Mac dan mengharapkan peminat akan terus mendoakan yang baik-baik. - UTUSAN ONLINE
|