July 30, 2017
LIMBANG: Pasukan Siasatan Jenayah Limbang semalam menahan seorang wanita di sebuah rumah panjang di sini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian anak tirinya, pada Khamis lalu.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar memberitahu, wanita berusia 22 tahun itu ditahan rumahnya di Kampung Terimah Lubai dekat sini, sekitar jam 7.10 malam oleh sepasukan anggota yang diketuai oleh Inspektor Andrew Undum.
“Kita melaksanakan tangkapan setelah bedah siasat pasukan forensik di Hospital Miri mendapati punca kematian ialah asphyxia atau lemas.
“Kes kini diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh,” katanya lagi.
Pada jam 9 malam Khamis lalu, seorang wanita telah membuat laporan polis di Balai Polis Limbang di sini yang mendakwa pada jam 4.20 petang, dia menemui anak tirinya yang berusia tiga tahun terbaring tidak sedarkan diri di lantai bilik mandi rumah mereka di Kampung Terimah Lubai.
Suspek mendakwa, mangsa sedang bermain berseorangan di bilik mandi tersebut manakala dirinya berada di dapur.
Sekembalinya ke bilik air, suspek mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Suspek kemudian membawa kanak-kanak malang tersebut ke Hospital Limbang, sebelum diisytihar tidak lagi bernyawa.
Pihak doktor kemudian melakukan pemeriksaan terhadap mayat mangsa dan mendapat beberapa bahagian badannya lebam dan tidak selari dengan dakwaan ibu tiri mangsa.
Kes ketika itu bagaimanapun diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.
Wanita terbabit akan mendapat perintah reman pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan. – Sarawakvoice
Kena censor pulak muka. Nah....