Perlis tekad kekal rekod tanpa kalah
Oleh Hamdan Saaid
PUSINGAN pertama pertandingan bola sepak Liga Super berbaki empat perlawanan sahaja lagi dengan juara 2005, Perlis masih mampu berbangga kekal di singgahsana liga sekalipun hanya dipisahkan dengan tiga mata berbanding pasukan tangga kedua, Terengganu.
Enam kemenangan serta dua kali seri daripada lapan perlawanan menghasilkan 20 mata buat skuad Singa Utara itu yang pasti cuba mengekalkan rekod tanpa kalah apabila bertandang ke negeri jiran, Kedah dalam pertembungan di Stadium Darulaman, malam ini.
Malah, mereka satu-satunya pasukan yang belum kalah lagi dalam saingan tetapi Kedah, yang bangkit dengan mencatat empat kemenangan berturut-turut sebelum ini untuk melonjak ke tangga keempat, mampu menggugat kehebatan pasukan jiran terutama dengan kehadiran penyerang import baru, Marlon Alex James.
Kemenangan 2-0 ke atas Selangor di Shah Alam minggu lalu memberi kekuatan kepada anak buah Azraai Khor Abdullah menangani kehadiran Perlis sesudah mereka melengkapkan kemenangan empat perlawanan berturut-turut dalam liga sesudah terdahulu membenam Perak, Johor FC dan Pulau Pinang.
Selain pertemuan Kedah-Perlis, satu lagi perlawanan yang harus menjadi tumpuan adalah antara pasukan tangga kedua, Terengganu dan Telekom Melaka (TMFC), pasukan bermasalah yang menghuni tangga kesembilan liga 13 pasukan itu.
Terengganu masih segar daripada kemenangan 3-1 mengatasi Melaka di gelanggang lawan minggu lalu, harus menggunakan kesempatan daripada masalah membelenggu TMFC untuk menekan Perlis.
TMFC, dengan jurulatih yang baru dilantik Wan Jamak Wan Hassan terpaksa menyaksikan perlawanan dari bangku penonton kerana masalah pendaftaran, perlu bangkit untuk mengeluarkan diri daripada zon bahaya sesudah hanya mencatat dua kemenangan dan berada di tangga kesembilan