KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di empat negeri dan satu Wilayah Persekutuan sehingga jam 3 petang ini.
METMalaysia menerusi ciapan di Twitter memaklumkan negeri yang dijangka berdepan cuaca buruk itu ialah di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak. Wilayah Persekutuan pula membabitkan Kuala Lumpur.
"Di Pahang, ia membabitkan Raub dan juga Bentong manakala Selangor ialah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
"Negeri Sembilan pula daerah yang terbabit ialah Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Rembau manakala Sarawak pula membabitkan Kuching, Serian dan Samarahan," katanya.