Terengganu tagih pakar Indonesia
Oleh MUSTAPA LAKAWA
TERENGGANU bakal mendapatkan khidmat jurulatih badminton dari Indonesia untuk melatih para pemain muda dari negeri itu menerusi pembentukan Akademi Badminton Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat (gambar) berkata, pihaknya juga telah mengenalpasti jurulatih itu, namun masih belum bersedia untuk mendedahkan nama individu tersebut.
Katanya, cadangan untuk mendapatkan jurulatih itu adalah hasil kerjasama dengan Persatuan Badminton Terengganu dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berkualiti dari negeri ini.
“Kita sudah menghantar surat tawaran kepada individu tersebut dan apa yang boleh saya katakan ialah, jurulatih itu berasal dari Indonesia,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Rozi menjelaskan, sebelum ini pihaknya cuba mendapatkan khidmat bekas jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek tetapi gagal mencapai kata sepakat.
“Kita telah cuba tetapi gagal. Sebab itu saya tidak mahu dedahkan siapa jurulatih dari Indonesia yang saya maksudkan itu,” katanya.
Untuk rekod, Akademi Badminton Terengganu yang bakal beroperasi sepenuhnya awal tahun depan bakal menjadi pentas untuk melahirkan pemain remaja berkualiti dari negeri ini.
Menurut Rozi lagi, akademi itu akan menghimpunkan pemain- pemain berbakat dari pelbagai peringkat umur untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia selain kejohanan-kejohanan tempatan.
“Sekarang ini kita sedang mengadakan Program Mengenalpasti Bakat (TID) di setiap daerah untuk mencari pemain badminton dari pelbagai peringkat umur.
“Daripada TID ini, pelatih yang terpilih akan diserapkan ke akademi untuk menjalani latihan rapi. Usaha ini adalah sebahagian daripada program pembangunan sukan akar umbi bagi negeri Terengganu,” katanya lagi.
Awal Mei lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan cadangan kerajaan negeri untuk mempunyai sebuah akademi badminton selewat-lewatnya awal tahun depan dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet dalam sukan itu.
Kata Ahmad, pihaknya dalam proses mencari lokasi sesuai untuk membina akademi berkenaan selain mendapatkan khidmat jurulatih profesional.
“Sudah tiba masanya Terengganu melonjak pula dalam sukan ini dan saya yakin kita akan berjaya mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan bagi menggerakkan pembangunan sukan secara menyeluruh,” katanya.