Ex-gratia akan dibayar, tetapi tunggu dulu dapatan panel bebas - Dzulkefly
Dzulkefly (tengah) bersama generasi muda dalam kempen 'Bersih dan Selamat (BeSS)' ketika mengadakan Tinjauan Mesra Premis Bersih dan Bebas Asap di Eco Grandeur Puncak Alam hari ini. - BERNAMA
KUALA SELANGOR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberikan jaminan bahawa ex-gratia akan dibayar kepada keluarga seorang doktor di Sabah yang meninggal dunia didakwa susulan kejadian buli. Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya perlu menunggu terlebih dahulu hasil dapatan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar perubatan patologi itu. Dzulkefly juga menegaskan, pasukan petugas khas bebas itu perlu diberi ruang untuk menyiasat kematian Dr Tay Tien Yaa dan melaporkan dapatannya. "Jangan terburu-buru, belum tegak hendak berlari... kita tunggu dulu, apakah dapatan (pasukan petugas khas).
"Setelah kita ada dapatan itu, (bayaran ex-gratia) pasti akan dibayar segera. Itu SOP (prosedur operasi standard). "Saya sebagai menteri akan pastikan (bayaran) ex gratia itu diberikan (mengikut) dapatan panel bebas itu," katanya seperti dilaporkan FMT. Tien Yaa seorang pakar patologi di Hospital Lahad Datu di Sabah meninggal dunia pada 29 Ogos lalu, dengan adiknya mendakwa, buli mungkin salah satu faktor yang menyebabkan kematian itu. Dzulkefly berkata, dapatan pasukan petugas khas akan didedahkan kepada umum. Jumaat lalu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, menggesa kerajaan memberikan bayaran ex-gratia yang tinggi kepada keluarga Tien Yaa untuk meringankan beban kewangan mereka dan mengiktiraf khidmatnya. Poay Tiong menzahirkan rasa kecewa dengan respons Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kematian pakar patologi itu yang dilihatnya lembap, selain kelewatan dalam membentuk pasukan petugas. Menegaskan KKM mengambil tindakan segera berhubung perkara itu, Dzulkefly berkata, jabatan kesihatan negeri melancarkan siasatan sejurus selepas kematian doktor itu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1307535/ex-gratia-akan-dibayar-tetapi-tunggu-dulu-dapatan-panel-bebas
|