|
Sumber: murai.com
40 Selebriti Sertai Yok Sahur 3@Murai
Foto oleh Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 4 OGOS 2010: Sekali lagi umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan serta hari lebaran yang cukup dinanti-nantikan. Serentak itu, portal hiburan murai.com.my sekali lagi akan menganjurkan program R&R 2010 serta Yok Sahur 3 bersama Maggi.
R&R 2010 dan Yok Sahur 3 bersama Maggi adalah penganjuran yang diadakan buat kali ketiga yang mana ia akan melibatkan 40 selebriti tempatan dalam menjayakan aktiviti bersahur bersama anak-anak yatim di 3 lokasi rumah kebajikan yang terpilih.
Lokasi rumah kebajikan terbabit adalah Rumah Silaturrahim Nurul Qana'ah, Batu Caves, Selangor pada 13 Ogos 2010, Rumah Anak-Anak Yatim Dan Saudara Baru Shifa' di Setapak, Kuala Lumpur (20 Ogos 2010) serta Asrama Darul Falah atau ASDAF di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur (27 Ogos 2010).
Acara selebriti bersahur bersama anak-anak yatim ini bakal dimulakan dari jam 12 tengah malam hingga jam 4.30 pagi.
Antara selebriti yang bakal menjayakan acara Yok Sahur 3 ini adalah Lisa Surihani, Alyah, Kamal Adli, Intan Ladyana, Shahir, Adira, Hafiz, Amylea, Dafi, Syed Ali, Farawahida, Wana, Mila, Azwan Ali, Ifa Raziah, Along Raja Lawak, Zila Seeron, Izwan Pilus, Fazli Zainal, Kat Mentor, Zoey, Shila OIAM, Fizow, Sabhi Sadhi, Isma dan Zul, Heliza, Farish Aziz dan Sofaz.
Ketua Editor murai.com.my, Ellyna Ali berkata, setelah menganjurkan R&R dan Yok Sahur selama 2 tahun berturut-turut, program ini telah berjaya menjadi sebuah jenama yang cukup dikenali dengan portal murai.com.my.
"Apatah lagi dengan kemunculan Maggi yang akan menjadi penaja utama R&R 2010 khususnya Yok Sahur 3. Pada asalnya, Yok Sahur hanyalah dilakukan secara kecil-kecilan untuk memenuhi isi kandungan murai.com.my tentang hal-hal yang berkaitan dengan selebriti di waktu bulan Ramadan serta menjelangnya Syawal.
"Namun di atas permintaan serta sambutan yang menggalakkan, ia telah menjadi sebuah program yang wajib diadakan pada setiap tahun terutama sekali menjelangnya Ramadan.
"Menariknya, Yok Sahur kerana ia adalah sebuah program berbentuk CSR (Corporate Social Responsibility) yang mengajak golongan selebriti untuk menjayakan aktiviti amal dengan bersahur bersama anak-anak yatim di beberapa lokasi di rumah kebajikan yang terpilih.
"Selain bersahur, mereka akan turut meluangkan masa untuk menghiburkan anak-anak yatim ini dengan menyanyi, bercerita atau bermain beberapa aktiviti permainan yang menyeronokkan," katanya sewaktu ditemui di sidang media R&R 2010 & Yok Sahur 3 bersama Maggi di Hotel Marriott, Putrajaya, tengahari tadi.
Menurut Ellyna lagi, penglibatan golongan selebriti dalam program R&R 2010 & Yok Sahur 3 bersama Maggi ini juga cukup menggalakkan.
"Sejak dari Yok Sahur tahun lepas lagi, ramai tertunggu-tunggu acara Yok Sahur 3 serta tidak sabar-sabar untuk menjayakan program ini. Ada juga artis yang turut menghulurkan sumbangan berbentuk material, makanan serta duit raya kepada anak-anak yang kurang bernasib baik ini. Malah, pihak kami juga turut membantu untuk membuat kutipan dana untuk disalurkan kepada rumah kebajikan ini.
"Malah, kami juga turut mengalu-alukan pihak tertentu yang mahu memberikan sumbangan berbentuk keperluan asas seperti beras, biskut, milo, minyak masak, sabun mandi, sabun, baju, kasut raya, keperluan harian sekolah, tilam dan sebagainya," jelasnya lagi.
Penganjuran R&R 2010 serta Yok Sahur 3 bersama Maggi akan diadakan dengan bermakna serta meriah lagi dengan kehadiran Gala TV Astro Awani sebagai penyiar rasmi yang telah bersama dengan acara program ini sejak dari musim kedua lagi.
Menambahkan kemeriahan apabila Astro@15 akan turut serta pada acara Yok Sahur edisi yang ketiga ini dengan mewujudkan Yok Sahur 3 sebagai sebuah program TV yang dihoskan oleh Ajieb. nBegitu juga dengan komitmen radio Sinar yang akan mengendalikan segmen Perantau R&R.
Portal murai.com.my juga berbesar hati apabila Marriott Putrajaya sanggup tampil sebagai hotel rasmi untuk program R&R 2010. Yok Sahur 3 yang menjadi sebahagian daripada segmen di dalam R&R 2010 ini akan diakhir dengan acara rumah terbuka raya murai.com.my, Syoknya Lebaran Murai yang akan ditaja sepenuhnya oleh Hotel Marriott Putrajaya. Ia akan berlangsung pada 1 Oktober 2010.
Syoknya Lebaran Murai diadakan untuk meraikan golongan anak-anak yatim dari tiga buah rumah kebajikan yang terpilih dalam acara Yok Sahur 3 bersama selebriti-selebriti yang terbabit.
Tentang R&R 2010
R&R 2010 kali ini akan memfokuskan beberapa segmen iaitu Cerita R&R, Yok Sahur 3, Menu R&R, Salam R&R, Perantau R&R, Poll R&R.
Cerita R&R
Berkisar kepada berita dan informasi terkini penglibatan selebriti tempatan sepanjang bulan Ramadan dan menjelangnya lebaran.
Yok Sahur 3
Program amal anjuran murai.com.my yang sudah memasuki edisi yang ketiga ini memberi peluang kepada golongan selebriti untuk menyertai acara bersahur bersama anak-anak yatimd aripada beberapa rumah kebajikan.
Menu R&R
Selain memaparkan lokasi-lokasi menarik tentang menu berbuka puasa, segmen ini juga akan menampilkan resipi dan menu pilihan selebriti sepanjang bulan ramadan dan menjelangnya hari lebaran.
Salam R&R
Mengandungi ucapan hari raya selebriti menerusi tulisan dan video, selain itu pembaca berpeluang menghantar ucapan mereka menerusi pilihan e-cards yang telah disediakan di dalam ruangan segmen ini. Pembaca yang menghantar ucapan paling kreatif menerusi e-cards berpeluang memenangi hadiah yang menarik.
Perantau R&R
Peluang bagi pembaca murai.com.my untuk menghantar gambar dan ucapan bertemakan hari raya, tidak kira yang berada di dalam mahu pun di luar negara. Ucapan yang mendapat undian tertinggi, berpeluang untuk memenangi hadiah. Ucapan pemenang akan dibacakan menerusi radio Sinar FM.
Poll R&R
Undian tentang apa saja yang berkaitan dengan selebriti.
Tentang Yok Sahur 3
Yok Sahur 3 pula mengandungi segmen seperti Peraduan Yok Sahur, Video Yok Sahur, Cerita Yok Sahur, Tips Sahur, Galeri Foto serta Kenali Awani.
Peraduan Yok Sahur
5 pasang GengMurai akan dipilih untuk menyertai aktiviti bersahur yang melibatkan penyertaan 40 artis di tiga lokasi rumah anak-anak yatim. Penyertaan peraduan akan bermula 6 Ogos 2010.
Video Yok Sahur 3
Memaparkan aktiviti Yok Sahur 3 di setiap lokasi rumah anak-anak yatim yang dijayakan 40 artis.
Cerita Yok Sahur
Mengandungi perkembangan tentang berita sebelum dan selepas penganjuran Yok Sahur 3.
Tips Sahur
Menampilkan tips-tips serta cara-cara selebriti bersahur.
Galeri Foto
Memuatkan foto-foto menarik tentang aktiviti Yok Sahur 3 di setiap lokasi rumah anak-anak yatim yang dijayakan 40 artis.
Kenali Awani
Dekatkan diri anda dengan Gala TV sambil mengenali personaliti Awani.
YOK SAHUR@15:
Disiarkan setiap Khamis jam 9.00 pm-9.30pm di Astro saluran 109
LOKASI:
EDISI PERTAMA: 13 Ogos 2010 (Jumaat)
Masa: 11.30 malam hingga 4.30 pagi.
RUMAH SILATURRAHIM NURUL QANA'AH, Taman Batu, Batu Caves.
EDISI KEDUA: 20 Ogos 2010 (Jumaat)
Masa: 11. 30 malam hingga 4.30 pagi am
RUMAH ANAK-ANAK YATIM DAN SAUDARA BARU SHIFA'
No. 5, Lorong Bunga Cina, Taman P. Ramlee, Setapak, 53000 Kuala Lumpur
EDISI KETIGA: 27 Ogos 2010 (Jumaat)
Masa: 11.30 malam hingga 4.30 pagi.
ASRAMA DARUL FALAH (ASDAF)
Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur |
|