AGC tolak representasi ibu bapa Zayn Rayyan semak semula pertuduhan
[size=14.399999618530273px]Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf tiba prosiding kes di Mahkamah Sesyen di sini. - Foto NSTP/ AIZUDDIN SAAD
[size=14.399999618530273px]
[size=14.399999618530273px]
PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin untuk menyemak dan menarik balik tuduhan mengabaikan anak. Keputusan itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh di sini, hari ini. Susulan itu, Raja Zaizul memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain untuk menyelesaikan permohonan dokumen tambahan oleh pihak pembelaan iaitu cakera padat (CD) analisis forensik sebelum perbicaraan bermula.
Sementara itu, peguam bela pasangan itu yang baru dilantik Haresh Mahadevan berkata selain CD analisis forensik telefon bimbit tertuduh, laporan forensik ke atas jasad mangsa juga masih belum dikemukakan kepada pihaknya. Haresh turut memohon penangguhan pada tarikh hari pertama perbicaraan kes ini yang ditetapkan pada 20 Januari depan dilapangkan atas alasan pihaknya mempunyai perbicaraan di mahkamah di Negeri Sembilan. Pasangan itu turut diwakili peguam Ramzani Idris. Perkara itu diakui TPR dan tiada bantahan dikemukakan.
Mahkamah menetapkan 10 Januari depan untuk penyerahan dokumen. Hakim turut menetapkan perbicaraan kes akan bermula pada 3 hingga 7 Februari dan tarikh tambahan pada 10 hingga 14 Mac tahun depan. Representasi berkenaan dikemukakan pada 19 November lalu oleh bekas peguam tertuduh, Fahmi Abd Moin. Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, sudah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai, di sini, pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Ia berserta tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1333502/agc-tolak-representasi-ibu-bapa-zayn-rayyan-semak-semula-pertuduhan
|