HAMPIR enam tahun menjadi anak seni, baru kali ini nama pelakon kacak, Ben Amir menjadi sebutan peminat drama Melayu tempatan.
Meski populariti yang diraih sekarang perlahan jika dibandingkan dengan rakan seangkatan pencarian Hero Remaja lain seperti Fattah Amin, Syafiq Kyle dan Saharul Ridzwan, Ben tidak sedikitpun berputus asa.
Malah, Ben, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin percaya pada rezeki dan tuah.
Buktinya, hari ini Ben berjaya mengumpul peminat dan pengikut tersendiri menerusi watak Qash Adam dalam drama Sweet Dreams yang ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis menerusi slot Mega Drama saluran Astro Ria.
Malah, Ben berasa bertuah apabila perhatian yang diperoleh kini menenggelamkan kisah cinta yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.
“Kalau ikutkan hampir enam tahun saya berlakon. Alhamdulillah, baru kali ini orang nampak bakat saya. Paling penting, orang bercakap mengenai lakonan saya dan tidak perkara lain.
“Apa yang diterima sekarang saya anggap permulaan untuk lebih dikenali dalam karya akan datang. Saya tidak mahu terhenti setakat drama ini.
“Malah, saya berharap perhatian yang peminat berikan sekarang akan berterusan sebagai tanda sokongan terhadap kerjaya saya,” katanya.
Malah, Ben yang juga pelakon drama Spanar Jaya X berkata, dia sudah mengatur strategi sebagai langkah untuk kekal relevan.
Baginya, pemilihan drama dan jalan cerita yang berkualiti antara faktor rangsangan kepada kejayaan serta kelangsungan kerjaya pelakon.
“Alhamdulillah, sejak drama ini ditayangkan saya dapat banyak tawaran hingga hujung tahun ini dan sudah ada yang dipersetujui untuk tahun depan. Tinggal lagi saya kena pilih yang terbaik.
“Bagi saya, pemilihan karya dan watak yang sesuai sangat penting. Ini menjadi daya penarik utama peminat untuk menonton drama dan seterusnya memberikan sokongan.
“Mungkin pada awal kemunculan saya terima apa saja tawaran yang datang. Namun, sekarang saya sedar ada perkara yang perlu diambil kira. Malah, pelakon lain pun ambil pendekatan sama,” katanya.
Kekal imej rambut panjang
Selain watak yang dibawakan itu, seperkara yang membuatkan peminat jatuh cinta pada Ben adalah imej dan gaya rambut.
Malah, jarang sekali pelakon lelaki terutama hero drama memilih untuk berambut panjang sekali gus mengekalkannya sebagai imej diri.
Itu yang cuba dilakukan Ben sekarang meskipun ada tawaran yang mengehendakinya memotong rambut.
“Buat masa sekarang, saya nak kekalkan imej ini. Lebih setahun saya simpan rambut ini semata-mata nak cipta kelainan.
“Kebetulan apabila saya dapat tawaran drama ini, watak dan karakter kena dengan imej saya. Malah, pengarah pun okey dengan gaya ini. Pendek kata, penampilan saya tidak terlalu tipikal seperti hero lain.
“Ada tawaran yang memerlukan saya potong rambut tetapi tidak untuk waktu sekarang. Sebab orang sudah ingat saya dengan imej ini, jadi biarlah saya kekalkan dulu. Mungkin selepas dua tahun, baru saya potong,” katanya.
Hormat Mira
Bergandingan dengan pelakon popular, Mira Filzah, menghidupkan lagi keserasian mereka di kaca TV.
Meskipun tiada sebarang babak bersentuhan, Ben berkata, perkara itu tidak menghalangnya mewujudkan suasana dan perasaan cinta membabitkan babak romantis.
“Saya hormati pendirian Mira. Bagi saya, nak tunjukkan babak romantis tidak semestinya kena bersentuhan dan berpegangan tangan.
“Cukup dengan hanya renungan, lirikan mata dan reaksi kami, orang boleh rasakan apa yang kami ingin sampaikan dalam babak itu,” katanya.
Mengenai penampilan dirinya yang tidak berbaju dalam babak di bilik tidur, Ben berkata, dia cuba sampaikan mengikut realiti.
“Kalau perasan semua ‘shot’ diambil pada aras bahu saja. Jadi, ia tak nampak sangat. Malah, teknik pencahayaan dan kamera yang digunakan juga membantu perkara ini.
“Lagi satu, saya cuba menjadikan babak tidur tanpa mengenakan baju tampak semula jadi. Secara realitinya, kebanyakan lelaki tidur tak berbaju.
“Namun, ia tidak ditonjolkan secara keterlaluan. Masih ada batasnya. Jadi, tak ada isu pun,” katanya.