|
Norman Terpaksa Telan Semula Kata-Katanya!
KUALA LUMPUR, 11 MEI 2010: Di awal episod Akademi Fantasia Musim Ke-8 (AF8), Norman Abd Halim selaku pengetuanya pernah memberitahu bahawa dia tidak begitu menggemari konsep AFMasuk.
Malah, Norman juga menegaskan bahawa tidak mungkin akan wujudnya AFMasuk di dalam musim ini nanti. Alasan yang diberikan Norman adalah kerana dia mahu memberikan sepenuh keadilan buat pelajar yang masih lagi berjuang di dalam akademi.
Tapi kini, Norman akhirnya terpaksa akur dengan keputusan pihak produksi Astro. Konsep AFMasuk telah diwujudkan semula atas alasan untuk memberi peluang kepada pelajar yang berbakat besar menerusikan perjuangannya di pentas final AF8. Apa komen Norman tentang hal ini:
"Nampaknya, saya terpaksa telan semula apa yang telah saya katakan sebelum ini. Sebagai pengetua, ada banyak perkara yang berlaku di depan mata membuatkan saya terpaksa berfikir semula sebelum membuat sesuatu keputusan.
"Sebelum ini, saya pelik mengapa mesti ada babak-babak air mata setiap kali wujudnya penyingkiran di penghujung konsert. Tapi kini, saya sudah faham mengapa ia berlaku.
"Saya sendiri sudah merasainya selepas kenal dan sayang setiap pelajar ini dengan lebih dekat lagi. Adanya AFMasuk adalah untuk mencari yang terbaik untuk diletakkan pada pentas kemuncak AF8 nanti," katanya.
Jelas Norman lagi, dia sendiri yang membuat keputusan untuk mewujudkan semula AFMasuk selepas melihat 3 pelajar berbakat iaitu Anum, Alif dan Shahir tersingkir sebelum ini.
"Saya dah kehilangan mereka yang ada potensi untuk berada di peringkat final. Secara teorinya, penyingkiran mengejut pelajar berbakat selalunya berlaku apabila mereka berada di Zon Bahaya dalam program Debaran. Apabila berada di zon bahaya, peminat berusaha menyelamatkan pelajar tersebut sehinggakan pelajar yang ada ditangga selamat dilupakan.
"Sebab itulah saya sendiri yang meminta untuk ditimbang semula AFMasuk. Malah, ketika Shahir diumumkan yang dia tersingkir banyak respon yang kami terima supaya AFMasuk dibuat semula. Kalau ikutkan hati tidak mahu tetapi sebagai pengetua saya hanya mahukan yang terbaik pada final nanti. Jadi, apa salahnya kalau saya wujudkan semula AFMasuk," katanya.
Dalam pada itu, penjelasan yang dibuat Norman ini bukanlah disebabkan mahu menyalahkan pengumuman Zon Bahaya yang sudah menjadi format yang digunakan dalam program Debaran. Malah, Norman juga tidak mahu pengundi terlepas pandang dengan pelajar lain yang tidak berada di Zon Bahaya.
"Saya membuat keputusan ini bukan sebab ego tetapi ianya adalah satu hala tuju untuk mendapat yang terhebat. Saya berkata begini kerana mereka adalah generasi baru yang bakal memeriahkan industri muzik tempatan.
"Sebenarnya, saya sudah tergerak hati nak adakan AFMasuk ketika nama Anum diumumkan. Namun, waktu itu saya masih mahu lihat dulu dan mendiamkan diri. Begitu juga ketika nama Alif menjadi mangsa seterusnya. Jadi, apabila Shahir menerima ulangan keputusan yang sama, saya lihat macam ada yang tak kena dan terus membuat penilaian semula.
"Keputusan ini bukanlah atas dasar pilih kasih. Ia juga tiada kena mengena dengan Shahir yang pernah saya buat lawak kepada media untuk dijadikan sebagai menantu. AFMasuk bukan hanya untuk Shahir tetapi untuk semua pelajar yang lebih awal tersingkir (Shah, Ema, Anum, Alif, Nad & Farina).
"Sejujurnya, pada minggu Shahir tersingkir saya tidak risau kerana dia sudah ada lagu single sendiri dengan mempunyai video muzik. Saya juga yakin Shahir boleh berkembang dengan rangka promosi yang telah ditetapkan," katanya.
Norman juga menyangkal dakwaan segelintir pihak yang AFMasuk dibuat kerana dia terdesak untuk memasukkan Shahir semula disebabkan sebelum ini dia pernah memberitahu bahawa Sahir adalah pelajar kegemarannya.
"Sememangnya isu terdesak tidak wujud dan ia perlu difikikan semula pada niat asal kami yang mahukan yang terbaik untuk final AF8. Lagipun, harus diingat, bukan saya yang pilih Shahir untuk diserapkan semula tetapi pengundi yang telah memberikan peluang kedua buatnya.
"Saya juga terima sekiranya Shahir menjadi pelajar tersingkir pada konsert-9 nanti. Begitu juga kalau pelajar yang konsisten seperti Adira dan Maulana tersingkir. Itu pilihan pengundi. Saya juga terima andai kata 4 atau 5 saja pelajar yang akan ke final nanti," katanya.
Norman turut mengatakan bahawa bukan satu pembaziran atau kerugian sekiranya Shahir tidak mara ke final. Keputusan ini tertaluk kepada suara hati dan penilaian pengundi.
"Jangan perlekehkan pihak fakulti jika final AF8 tidak hebat apabila pelajar yang sepatutnya berada di final bukan menjadi pilihan peminat," ujarnya.
Sementara itu, kewibawaan Norman teruji apabila tindakan Norman yang memberikan setiap pelajar dengan kecenderungan satu arah muzik dilihat sebagai satu kegagalan yang terbukti pada persembahan Maulana yang semakin hilang faktor wow dan membosankan.
Menjawab persoalan ini, Norman berkata, dia sudah pun membincangkan tentang perkara ini dengan Maulana. Malah, Norman menyatakan Maulana sering membuat pertukaran di saat akhir dan ia sedikit sebanyak menganggu mutu persembahannya.
"Bosan atau tidak persembahan pelajar itu tergantung pada penerimaan penonton. Dalam kes Maulana, dia selalunya buat suatu perkara tak habis dan perkara ini sudah mula dapat dikesan sejak dari konsert ke-7 lagi iaitu sewaktu Maulana menyanyikan lagi Semalam yang jarang didengari peminat.
"Apa yang paling penting, Maulana kena kreatif. Ini adalah proses pembelajaran dan bukan setiap minggu Maulana boleh buat yang terbaik. Artis yang dah pro pun ada melakukan kesilapan apatah lagi Maulana yang masih belajar," katanya. |
|