Shah Alam: Polis masih meneruskan usaha mengesan pekerja-pekerja dipercayai menjalankan pengubahsuaian rumah bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat ini seramai enam individu yang diambil keterangan terdiri daripada ahli keluarga Zalina.
"Enam ahli keluarga (diambil keterangan) selepas laporan polis dibuat (bagi membantu siasatan). (Polis) masih menjalankan siasatan dan mengesan pekerja terbabit," katanya kepada media hari ini.
Dalam tinjauan NSTP di Jalan Ketiau, Seksyen 3 di sini Selasa lalu mendapati, keadaan rumah seperti sudah lama ditinggalkan manakala pagar rumah kelihatan belum siap dibina.
Pemilik pusat tahfiz yang berjiran dengan rumah Zalina, Mohammad Bokhari Shariff, 76, mendakwa kerja pengubahsuaian terhenti beberapa bulan sebelum kehilangannya.
"Saya lihat rumah itu sedang melalui proses ubah suai seakan-akan untuk dijadikan pejabat tetapi proses itu terhenti beberapa bulan sebelum kehilangannya tahun lalu.
"Saya mengetahui mengenai kehilangannya selepas polis datang menemui saya untuk mendapatkan maklumat," katanya.
Malah katanya, setiap malam dia dan jiran lain dapat melihat lampu di rumah Zalina terpasang seperti biasa meskipun tiada penghuni kerana dipercayai sudah dibuat tetapan (setting automatic).
Media sebelum ini melaporkan polis mencari Zalina yang dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November bagi memaklumkan bahawa bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital.