|
Atas permintaan akak alahai saya paste kek sini... ..asal usul nama Baling
Baling mempunyai banyak kisah sejarah awal yang menarik. Seorang arkeologi yang bernama Colings telah menjumpai kapak dan beliong di gua-gua kapur iaitu Gua Debu dan Gua Kelawar di Gunung Baling. Tempat-tempat perlindungan dalam gua-gua yang didiami oleh orang-orang zaman batu juga dijumpai. Berdasarkan penemuan ini bererti penempatan awal di Baling sudah wujud sejak zaman neolitik (Zaman Batu Baru) lagi.
"Baling" mempunyai dua buah kisah sejarah awal yang menarik. Kedua-dua kisah ini adalah merupakan bahan cerita lisan yang telah diwarisi oleh masyarakat di beberapa daerah tertentu di Negeri Kedah Darul Aman. Kisah-kisah ini telah diceritakan turun temurun sejak dari dahulu lagi hinggalah ke beberapa generasi silih berganti terutamanya di dalam Daerah Baling ini sendiri.
KISAH PERTAMA
Di dalam Hikayat Merong Maha Wangsa, terdapat satu kisah "RAJA BERSIONG". Nama sebenar "RAJA BERSIONG" ialah Raja Ong Maha Perita Deria yang memerintah Negeri Kedah sebelum bertapaknya Ugama Islam di negeri ini. Oleh kerana kezaliman pemerintahan baginda (baginda gemar memakan hati dan darah manusia) telah menyebabkan rakyat memberontak dan baginda pun melarikan diri. Kisah lanjut dan menarik waktu pelariannya tidak terdapat di dalam Hikayat Merong Maha Wangsa tetapi hanya berkembang melalui tradisi cerita lisan. Masyarakat di Daerah Baling terutamanya telah mewarisi cerita lisan mengenai Kisah Raja Bersiong ini turun temurun sehinggalah sekarang.
Kisah pertama ialah bagaimana perkataan BALING ini diambil sempena peristiwa Raja Bersiong yang telah membaling siongnya. Menurut cerita orang-orang tua di Daerah Baling, pada zaman dahulu, kononnya Raja Bersiong telah melarikan diri daripada istana apabila berlakunya pemberontakan rakyat akibat kezaliman baginda. Di dalam pelariannya, baginda terpaksa berhenti di beberapa tempat kerana baginda sakit gigi atau siongnya. Oleh kerana baginda tidak tertahan lagi menanggung sakit, baginda telah mengambil keputusan untuk mencabutnya. Perbuatan baginda memegang beberapa kali dan memulasnya telah mengambil masa yang agak lama melibatkan beberapa tempat persinggahan. Akhirnya setelah perjalanan baginda semakin jauh, usaha mencabut siongnya itu pun berjaya. Baginda pun memegang siong yang telah dicabutnya itu dan membalingnya dengan sekuat hati. Selepas membaling siongnya itu, baginda pun merasa amat lega kerana tidak lagi merasai kesakitan. Mengambil sempena peristiwa baginda membaling siong itu, maka lahirlah perkatan BALING dan juga perkataan SIONG. Perkataan Baling ini menjadi sebutan generasi demi generasi sehinggalah nama tempat di mana Raja Bersiong membaling siongnya dikenali dengan nama Daerah Baling. Ekoran dari peristiwa itu juga, masyarakat telah menamakan 2 buah mukim yang terdapat di dalam Daerah Baling ini sebagai MUKIM BALING dan MUKIM SIONG.
Menurut pendapat seorang penulis tanahair, Encik Wan Shamsuddin bin Mohd Yusof, terdapat satu deretan di Negeri Kedah yang telah mengambil sempena pelarian Raja Bersiong iaitu termasuklah Kuala Ketil, Tawar, Kuala Pegang, Kupang, Pulai, Baling dan Siong. Ternyatalah nama-nama tempat yang disebutkan oleh penulis di atas adalah tempat-tempat yang terdapat di dalam Daerah Baling.
KISAH KEDUA
Satu cerita lisan lagi yang terkenal terutama di kalangan penduduk Daerah Baling ialah mengenai bagaimana ujudnya perkataan BALING. Dari cerita lisan yang diperolehi, perkataan BALING sebenarnya berasal daripada perkataan orang Siam (Thai) iaitu BAN LING yang bermaksud Kampong Kera. Menurut cerita orang-orang tua yang ditemui, BALING asalnya ialah sebuah kampung yang terletak berdekatan dengan sebuah gunung di mana penduduknya terdiri daripada orang- orang Siam dan orang-orang Melayu. Bilangan rumah yang terdapat pada masa itu ialah lebih kurang 235 buah sahaja iaitu 200 buah rumah orang Siam dan 35 buah rumah orang Melayu. Kampong ini diperintah oleh seorang Penghulu Siam yang bernama Nai Sinou. Pekerjaan utama penduduk di sini ialah mengerjakan sawah dan bercucuk tanam. Mereka juga mempunyai dusun buah-buahan seperti durian, manggis, langsat, rambutan, cempedak dan juga kebun kelapa. Pada masa itu, terdapat berpuluh-puluh ekor kera yang selalu datang memakan buah-buahan serta merosakkan apa sahaja tanaman penduduk. Kumpulan kera ini dipercayai telah diketuai oleh seekor kera putih. Oleh kerana kampung ini kerap diganggu oleh kumpulan kera yang besar jumlahnya, penduduk kampung sentiasa berada di dalam keadaan gelisah. Ini adalah kerana kera-kera yang datang bukan sahaja memakan buah-buahan dan merosakkan tanaman mereka malah ianya sering mengganggu penduduk kampung terutamanya wanita dan kanak-kanak. Untuk menghindarkan daripada serangan kera-kera ini, Penghulu Nai Sinou telah mengambil keputusan mengadakan upacara pemujaan bersama-sama dengan penduduk kampung berketurunan Siam. Upacara pemujaan ini adalah bertujuan untuk menghalau kera-kera daripada mengganggu kampung ini. Selepas pemujaan itu, tidak ada lagi kera-kera yang datang mengganggu kampung tersebut. Maka kehidupan penduduk kampung itu terhindarlah daripada serangan kera-kera yang liar.
Mengambil sempena nama peristiwa serangan kera-kera ini, maka kampung inipun disebut sebagai Kampong Kera iaitu BAN LING.
Lama-kelamaan penduduk di sini hanya menyebut BALING sahaja. |
|