|
Letupan bom di Jakarta tidak jejaskan APM 2009
Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
LETUPAN bom yang berlaku di dua buah hotel, Ritz-Carlton dan Marriott di Jakarta, Indonesia pada pagi tadi dilapor tidak menjejaskan kelancaran Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta, esok.
Hal ini disahkan oleh pihak penganjur, Pengarah Urusan Beyond Events Sdn. Bhd., Amin Hussen.
Amin berkata letupan itu agak jauh dari tempat mereka mengadakan APM, oleh itu ia tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada majlis berprestij yang melibatkan artis-artis dari Malaysia, Singapura dan Indonesia itu.
“Keadaan agak tenang dan tenteram di sini walaupun ramai yang agak terkejut dengan berita letupan itu.
“Bagaimanapun, ‘show’ (APM) tetap berjalan. Alhamdulillah, kami semua selamat di sini,” jawab Amin.
Sejak lapan kali penganjurannya hanya Malaysia dan Singapura yang menjadi tuan rumah.
Tetapi buat pertama kalinya APM 2009 dijadualkan berlangsung pada pukul 9 malam (waktu tempatan) esok di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Jakarta di Senayan, Jakarta dan akan bersiaran secara langsung di Astro Ria, pukul 9 malam.
Majlis yang dihoskan oleh Aznil Nawawi bersama pengacara dari Singapura dan Indonesia itu akan diserikan dengan persembahan artis seperti Stacy, Reshmonu, Hujan, Aizat, Dafi, Ayu, Faizal Tahir dan Datuk Siti Nurhaliza. |
|