Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir meningkat sedikit dengan 564 mangsa membabitkan 158 keluarga direkodkan di Perak, Selangor dan Perlis sehingga, 8 pagi tadi, berbanding 486 mangsa 12 tengah hari semalam.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini, memaklumkan jumlah itu membabitkan lima daerah yang aktif di tiga negeri berkenaan.
"Selangor merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan hampir 300 mangsa iaitu 295 mangsa diikuti Perak (265) dan Perlis (4).
"Jumlah itu menyaksikan peningkatan mangsa banjir di Selangor dari 214 mangsa pagi tadi kepada 295 mangsa," katanya.
Katanya, lapan pusat pemindahan yang masih aktif dengan pertambahan satu pusat pemindahan di Selangor sehingga 8 pagi tadi.