CHONG WEI mempunyai masa selama 10 hari untuk membuat persiapan sebelum ke China dan Hong Kong.
PEMAIN perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menegaskan bahawa dia masih perlu berusaha dengan lebih gigih untuk menghadapi dua lagi kejohanan utama musim ini pada Siri Super Premier Terbuka China dan Hong Kong bulan depan. Jelas pemain berusia 33 tahun itu, sekarang bukannya masa untuk meraikan kejua-raan Terbuka Perancis, sebaliknya tumpuannya adalah untuk membentuk keyakinan, sekali gus mempamerkan permainan lebih baik pada kejohanan-kejohanan akan datang. “Saya ada 10 hari lagi sebelum ke China dan Hong Kong, jadi saya perlu buat persiapan yang terbaik. Kekalahan di Denmark akan dibincangkan lagi dengan jurulatih, Hendrawan. “Saya perlu terima kekalahan awal ini tetapi saya juga berharap dapat mempamerkan permainan lebih bagus di China dan Hong Kong nanti,” ujar Chong Wei selepas tiba di Perancis semalam.
Pemain berusia 33 tahun itu berdepan musim yang sukar selepas gagal ujian do-ping pada Kejohanan Badminton Dunia tahun lalu, malah penggantungan selama lapan bulan sehingga penghujung April lalu turut menjejaskan penampilannya untuk beraksi di pentas antarabangsa. Selepas mencatatkan dua kejuaraan pada Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat dan Grand Prix Terbuka Kanada (Jun lalu), Chong Wei berdepan situasi sukar apabila tersingkir awal pada tiga kejohanan berstatus Siri Super di Jepun, Korea Selatan dan Denmark. “Apa yang paling penting sekarang ialah keyakinan untuk persiapan ke Sukan Olimpik. Sekarang saya dapat belajar, kalau kalah kena kutuk tetapi saya perlu terima. “Bukan senang kerana selama enam tahun sebagai pemain No. 1 dunia paling awal kalah pada separuh akhir tetapi selepas kalah awal pada tiga kejohanan lepas saya perlu belajar hadapi tekanan tinggi. Ia sudah lepas, jadi sekarang saya mahu fokus masa depan,” kata Chong Wei.
Dalam pada itu, Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd. Majid berharap sentuhan yang dipamerkan Chong Wei yang meraih kejuaraan di Perancis, Ahad lalu berkekalan. “Kami mahu melihat Chong Wei terus berusaha kerana keutamaan kita mencapai kejayaan pada Olimpik Rio. Dalam konteks ini, kami tidak perlu sasaran yang tinggi lagi kerana perkara yang pertama ialah dia layak dan meletakkan diri dia selesa pada Olimpik. “Kami bukan sahaja mahu dia memenangi Siri Super tetapi menjadikan kejohanan ini sebagai persiapan untuk beraksi pada Olimpik. Apa yang penting, dia meraih keyakinan,” kata Al Amin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.
|