|
Keluarga yakin Mohamad Ashraf masih hidup
Abd Razak Mohd Ali, Astro Awani | Diterbitkan pada April 13, 2019 14:51 MYT
Keluarga yakin Mohamad Ashraf masih hidup
Berdasarkan keyakinan itu, mereka akan terus mencari tanpa mengira batas waktu pagi, petang, siang, malam, mahupun subuh. - Gambar fail
GOPENG: Selepas 22 hari dilaporkan hilang, keluarga Mohamad Ashraf Hassan, 29 tahun, tetap yakin peserta Gopeng Ultra Trail itu masih hidup.
Berdasarkan keyakinan itu, mereka akan terus mencari tanpa mengira batas waktu pagi, petang, siang, malam, mahupun subuh.
Abang Mohamad Ashraf, Mohd Zahiruddin, 35, berkata, mereka sekeluarga masih mengharapkan ada petunjuk-petunjuk baru yang boleh membawa kepada penemuan adiknya.
“Kami yakin, ibu pun sama, kita semua sama yakin yang Ashraf masih ada.
“Sebabnya kalau ikutkan unit yang digerakkan, (ia) adalah unit terbaik daripada pasukan-pasukan bertugas, iaitu unit drone, unit bertali, unit K9 namun masih belum ada jumpa.
“Contoh, kalau dia dah tak ada, kita boleh jumpa dengan unit K9 tapi sampai hari ni kita tak jumpa lagi, jadi kami sekeluarga yakin dia masih ada,” katanya.
Beliau ditemui pada pelancaran Ops Kesan Polis Perak di Kampung Pintu Padang, Gopeng, pada Sabtu.
Menurut Mohd Zahiruddin, ibu mereka, Siti Maznah Khamis, 62, telah pulang ke Muar untuk menjalani rawatan kesihatannya yang kurang stabil.
Katanya, mereka sekeluarga tidak boleh menghalang apa juga spekulasi dan berita tidak benar mengenai kehilangan Mohamad Ashraf.
Sebaliknya, keluarga Mohamad Ashraf tetap fokus dalam kerja-kerja pencarian adiknya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|