|
Tiga negeri berisiko banjir besar susulan peralihan monsun
Kuala Lumpur: Kelantan, Terengganu dan Pahang berisiko tinggi dilanda banjir besar susulan peralihan monsun timur laut yang diramal berlaku November ini hingga Mac tahun depan.
Pakar meteorologi, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, banjir boleh berlaku lebih teruk di kawasan rendah atau kuala sungai.
Bagaimanapun katanya, sekiranya berlaku luruan monsun mempunyai angin kencang daripada biasa, hujan berterusan berpotensi berlaku sehingga ke negeri pantai barat Semenanjung.
"Kalau mengikut resam monsun timur laut, negeri mempunyai risiko tinggi ialah Kelantan seperti di Kota Bharu, Sungai Golok dan Tumpat; Terengganu seperti di Kuala Terengganu, manakala Pahang di Kuantan yang boleh berlaku banjir. Resam biasa hujan lebat akan turun di pesisir pantai.
"Kalau luruan monsun mempunyai angin kencang dari biasa, kumpulan awan mesoskel akan dipukul ke pedalaman dan Banjaran Titiwangsa.
"Jika ini terjadi barulah (paras) sungai di pantai barat semenanjung mula naik dan mungkin banjir.
Contohnya pada 2014, bukan saja Kelantan tetapi Perak juga banjir ketika itu," katanya.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, tiga negeri itu akan berlaku banjir hampir setiap tahun semasa monsun timur laut, cuma situasinya itu buruk atau tidak sahaja.
Katanya, untuk meramal berlakunya hujan yang sangat lebat yang mengakibatkan banjir besar memerlukan sebaik-baiknya tiga hari sebelum ia berlaku.
"Boleh kesan sistem (luruan monsun) di Laut China Selatan semasa ia mula terjadi. Kemudian track dan lihat serta ramal bagaimana sistem hujan ini berkembang bila sampai ke pantai timur.
"Setakat ini tiada jangkaan akan ada bandar boleh 'tenggelam' kerana banjir ini bergantung kepada keadaan (taburan hujan dan faktor kawasan muka bumi)," katanya.
Azizan berkata, orang ramai di kawasan yang berisiko tinggi dinasihatkan supaya sentiasa lebih peka dan berjaga-jaga selain mengikuti maklumat kajian cuaca dikeluarkan oleh pihak berkenaan.
Pada September lalu Harian Metro melaporkan, peralihan monsun timur laut yang diramalkan berlaku pada November ini hingga Mac tahun depan dijangka akan menyebabkan cuaca pada sebelah pagi hujan di pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, secara amnya semasa monsun timur laut tidak hanya menyebabkan hujan di sebelah pagi, malah pada sebelah petang, ribut petir atau hujan lebat di kawasan pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pedalaman Sarawak serta barat Sabah.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-peralihan-monsun |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|