|
Nasib pengantin wanita
| SOPHIE
|
LONDON - Majlis perkahwinan seorang wanita Britain, Sophie Clark bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kereta kuda yang membawa dia dan bapanya ke sebuah gereja terlibat dalam satu kemalangan, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita berusia 29 tahun itu sedang menaiki kereta kuda itu untuk menghadiri majlis perkahwinannya di sebuah gereja di Bretfordton, tengah England apabila roda kenderaan tersebut tiba-tiba tersekat, menyebabkan pemandu dan pembantunya terhumban keluar pada Sabtu lalu.
Kereta itu tidak dikawal oleh sesiapa menyebabkan kuda yang berada dalam ketakutan merempuh sebuah kenderaan lain.
Keadaan itu menyebabkan Sophie turut terpelanting tetapi dia sempat berpaut pada bahagian dekat dengan roda kenderaan itu sebelum ditarik ke atas oleh bapanya, Bob, 56.
Bagaimanapun, bapanya yang bimbang kerana kereta kuda itu menuju ke arah laluan sebuah lori pada kelajuan 56 kilometer sejam, bertindak nekad menolak Sophie keluar dari kenderaan tersebut dalam usaha menyelamatkan nyawa anak perempuannya.
"Bapa saya berjaya menarik saya kembali ke dalam kereta kuda tersebut tetapi apabila dia melihat kenderaan itu bergerak menuju ke selekoh, dia sedar nyawa kami dalam bahaya dan bertindak menolak saya keluar. Saya terjatuh ke tanah dan pemandangan saya kabur selepas itu," kata Sophie.
GAMBAR ini menunjukkan Sophie menaiki kereta kuda bersama bapanya di Bretfordton, Britain pada Sabtu lalu.
Dia mengalami cedera teruk dan dihantar ke sebuah hospital dengan tunangnya, Karl Woods, 36, berada di sisi manakala bapanya dan dua yang lain turut cedera tetapi tidak parah.
Berikutan tragedi yang tidak disangka itu, pasangan itu membuat keputusan untuk menangguhkan majlis perkahwinan mereka ke Januari depan. - Agensi |
|