|
Erin Malik Selamat Bertunang, Nikah Pada Oktober Depan
Diterbitkan: Ahad, 22 Jun 2014 12:30 AM
Oleh: KEMALIA OTHMAN
[email protected]
Erin Malik (kanan) kelihatan anggun memakai busana rekaan Azura Couture.
KUALA LUMPUR: Pelakon Erin Malik, 20, mengikat tali pertunangan dengan Farriz Fauzy, 30, dalam satu majlis yang diadakan di Duta Suria Residency di Ampang, malam Sabtu.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diiringi dengan ucapan perbincangan oleh bapa saudara yang mewakili pihak lelaki, Zarak Kamal.
Sementara itu, pihak Erin juga diwakili oleh bapa saudaranya, Zulkifli Sulaiman.
Pada majlis tersebut pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran yang berupa tepak sirih, sirih junjung, sepasang kain, kain telekung dan kek.
Manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang hantaran terdiri daripada jambangan sirih junjung, cincin, sepasang kain, set wangian, buah-buahan dan dua dulang manisan.
Majlis kemudiannya disusuli dengan adat menyarung cincin yang sempurnakan oleh ibu Farriz, Wan Nor Azmah.
Pada majlis tersebut, Erin tampil anggun dalam persalinan pereka fesyen terkenal Azura Couture berserta pelamin bertemakan 'Fairy Blossom'.
Sementara itu, Erin yang ditemui selepas majlis selesai bersyukur dan lega semuanya berjalan lancar.
Biarpun membina hubungan istimewa dalam tempoh yang singkat sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan, Erin yakin lelaki tersebut adalah pilihan yang tepat buat dirinya.
"Kami berkenalan pada Januari lalu dan baru empat bulan mengenali, namun dalam tempoh yang singkat itu banyak perkara yang meyakinkan kami untuk ke peringkat seterusnya.
"Dia seorang yang memang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan saya pula tidak ada masalah dalam hal berkahwin pada usia muda," katanya kepada mStar Online, pada malam Sabtu.
Manakala Farriz memberitahu Erin merupakan seorang wanita yang matang walaupun baharu berusia 20 tahun.
Dia juga percaya keserasian dan kesefahaman antara mereka berdua mampu membina sebuah keluarga dalam masa terdekat ini.
"Sasaran saya adalah untuk berkahwin pada usia 30 tahun dan saya jumpa Erin pada masa yang tepat.
"Saya tidak mahu menghabiskan banyak masa dengan bercinta, sementara kedua-dua belah keluarga memang sudah bersetuju untuk mempercepatkan perkahwinan yang mana asalnya dirancang pada tahun hadapan," katanya.
Kedua-dua pihak keluarga bersetuju untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 10 Oktober depan.
Turut hadir pada majlis tersebut beberapa rakan artis seperti Fasha Sandha, Arja Lee dan Faralyna Idris.
Credits: mstar.com.my |
|