Sejak membintangi drama yang mempopularkan namanya, Teman Lelaki Upahan, rezeki wanita berusia 31 tahun ini tidak pernah putus.
Banyak syarikat produksi drama tempatan yang menawarkan Elizad untuk menjadi sebahagian daripada naskhah yang dihasilkan mereka.
Yang menariknya, Elizad tidak pernah menolak tawaran tersebut malah menganggap itu adalah rezeki sempena kemunculan semula dalam bidang lakonan.
Justeru tidak hairanlah jika jadual
Elizad sentiasa diisi dengan kerja. Tidak pernah sekalipun ada kelonggaran kerana itulah semangat baharu Elizad.
“Ada rakan industri hiburan mengatakan saya gila kerja. Sebab saya tidak pernah berkata tidak kalau ada tawaran berlakon.
“Lepas itu kalau saya terlibat, pasti awal-awal pagi lagi saya sudah terpacak di set penggambaran.
“Lagipun sudah namanya pelakon, pastilah ‘pejabatnya’ di set penggambaran. Jadi tidak salah kalau fokus saya kini kepada kerjaya lakonan memandangkan saya belum ada komitmen besar yang lain,” kata Elizad menyuarakan pendirian diri.
Mengulas lanjut, kata Elizad, dia sentiasa menempatkan dirinya di tempat kru produski yang barangkali pernah berdepan dengan masalah disiplin pelakon terlibat.
Lantaran itu, soal disiplin menjadi nadi utama kepada perjalanan seninya selepas terhenti seketika beberapa tahun lalu.
Selain itu, Elizad memberitahu, dia juga mementingkan hubungan sesama rakan sekerja bagi memastikan dia dapat bekerja dengan lancar dan tenang.
“Saya lebih rela memendam perasaan terhadap rasa tidak puas hati atau kekurangan setiap produksi berbanding menyuarakan yang dirasai pada waktu itu.
“Saya tidak mahu mengecilkan hati mana-mana pihak. Kalau ada yang terasa dengan ketelanjuran bahasa saya itu, pasti akan menimbulkan rasa kurang senang pihak terbabit,” ujarnya yang baru pulang bercuti daripada berbulan madu di sebuah destinasi peranginan baru-baru ini.
Suami merestui
Pada masa yang sama, Elizad bersyukur apabila minatnya dalam bidang lakonan itu mendapat sepenuhnya restu daripada suami, Shamsul Baharin Rahman, 43.
Kata Elizad, suaminya itu membenarkan dia meneroka bidang berkenaan kerana bakatnya terarah ke situ asalkan tidak melupakan tanggungjawab terhadap suami dan rumah tangga.
“Kalau diikutkan rasa penat bekerja di set penggambaran yang jadual kerjanya tidak menentu, kemudian pulang melayan kehendak abang, memang rasa penat.
“Tapi saya bertuah kerana abang sangat bertoleransi. Dia juga tidak pernah mengeluh malah memahami situasi dan rutin kerja saya.
“Secara tidak langsung, persefahaman yang dibina itu melicinkan kerja saya,” katanya yang mensyukuri kemanisan rumah tangga bersama suami yang dibina kira-kira tujuh bulan lalu.
Mengimbas kenangan berhari raya sebagai isteri buat julung kalinya, Elizad memberitahu, dia sangat teruja apabila menziarahi sanak saudara kedua-dua belah keluarga pada tahun ini.
Malah Elizad berkata, rata-rata daripada sanak saudara yang jauh juga gembira apabila berkesempatan bertemu ketika kali pertama berjumpa.
“Yang seronoknya apabila saya mendapat layanan istimewa pada setiap kunjungan biarpun saya bimbang menyusahkan tuan rumah.
“Lebih seronok lagi apabila kami bersama-sama mengulas drama-drama saya yang pernah ditayangkan di televisyen sebelum ini,” katanya yang bakal terbang ke Vietnam, China dan Jepun untuk penggambaran telefilem Travelling Beruang bersama-sama Ungku Aziz awal bulan depan.