Fazura serah pada Allah
KUALA LUMPUR: Perkongsian pelakon Nur Fazura mengenai meletakkan sepenuh kepercayaan kepada perancangan Allah di Instagram Story (IGs) pagi ini seolah-olah memberi gambaran ujian krisis rumah tangga yang sedang dilaluinya. Menerusi hantaran itu, Fazura yakin dengan segala ketentuan yang sudah ditetapkan Tuhan, selain percaya dengan kebahagiaan yang bakal diperoleh pada masa mendatang. "Sentiasalah meletakkan sepenuh kepercayaan, harapan dan keyakinan kepada perancangan Allah. "Mungkin kamu tidak nampak sekarang, tetapi ketahuilah Allah sedang membawa kamu ke arah kebahagiaan yang jauh lebih besar. Insya-Allah," tulisnya.
Dalam hantaran berbeza, Fazura juga dilihat reda untuk menerima segala hal yang bukan miliknya. "Kamu perlu menerima apa yang bukan untukmu, dengan cara yang sama seperti kamu menerima apa yang untukmu," tulisnya lagi. Pagi ini, bakal menjadi detik penentuan penamat krisis rumah tangga pasangan selebriti sensasi, Fattah Amin dan Fazura sama ada bercerai atau kes ditangguhkan sekali lagi. Sebutan kedua tuntutan perceraian Fazura terhadap Fattah dijangka berlangsung jam 9 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor selepas tempoh dua minggu penangguhan kes seperti dibenarkan mahkamah berakhir. Sebelum ini, mahkamah menangguhkan kes perceraian susulan menerima cadangan baharu daripada defendan yang mahu kes itu diselesaikan secara baik. Ketika prosiding kes pertama pada 25 September lalu, Fattah atau nama sebenar, Abdul Fattah Mohd Amin, 33, enggan menceraikan Fazura atas alasan masih lagi menyayangi isterinya, manakala Fazura nekad mahu berpisah. Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1307618/fazura-serah-pada-allah
|