KDN bekerjasama dengan pelbagai pihak pastikan ahli GISBH tidak kembali fahaman lama
Saifuddin diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
TUMPAT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan pengikut GISBH Holdings (GISBH) tidak kembali mengamalkan fahaman mereka. Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu juga yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim. Katanya, kerajaan juga sudah memberi program pemulihan kepada mereka supaya tidak mengulangi dan mengamalkan fahaman mereka yang sudah difatwakan sebagai bercanggah. "Ini yang diminta oleh Perdana Menteri supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan langkah mengekang mereka kembali kepada fahaman lama.
"Kita juga akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau kegiatan mereka menerusi dalam talian. "Arahan khusus daripada Perdana Menteri supaya melakukan penyelarasan dengan semua agensi supaya langkah yang diambil oleh kerajaan tidak dilihat sebagai bermusim. "Selain tindakan undang-undang, kita perlu pastikan mereka tidak kembali kepada fahaman ajaran GISBH," katanya pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat. Mengulas lanjut, katanya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri juga sudah melaporkan jumlah anak-anak yang diambil sebelum ini sudah dipulangkan kembali. "Susulan operasi yang dilakukan sebelum ini, pihak polis sudah membuka kertas siasatan dan sejumlah pendakwaan sudah dibuat. Setakat ini kita tidak berdepan sebarang masalah," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1333683/kdn-bekerjasama-dengan-pelbagai-pihak-pastikan-ahli-gisbh-tidak
|