|
Li-Ning sentuhan legenda gimnastik
Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar JEFFRI IRAN
SEMAKIN ramai yang telah mula menyedari betapa pentingnya penjagaan kesihatan bagi menjamin kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. Salah satu daripada aspek yang dititikberatkan dalam penjagaan kesihatan ialah bersenam.
Bagi sesetengah orang, apabila hendak keluar rumah untuk bersenam, mereka mahu mengenakan pakaian dan kasut yang bersesuaian. Pakaian dan kasut yang memang dibuat khas untuk bersenam memberikan keselesaan semasa melakukan pergerakan-pergerakan tertentu.
Baru-baru ini, Li Ning Company Limited, salah satu daripada pengeluar peralatan sukan terkemuka jenama antarabangsa daripada China telah melancarkan secara rasmi jenama produk badminton Li-Ning di Malaysia.
Li-Ning telah diasaskan pada tahun 1990 oleh ahli gimnastik legenda China, Li Ning.
Li Ning Company Limited menerusi anak syarikatnya terlibat dalam pembangunan jenama, reka bentuk, pengeluaran, jualan dan pengedaran kasut, pakaian dan aksesori berkaitan sukan dan kegunaan riadah.
Rangkaian raket teknologi tinggi, kasut dan aksesori badminton Li-Ning kini digunakan dan diiktiraf oleh bintang badminton China, Lin Dan serta pemain pasukan badminton kebangsaan China. Sejak bulan April 2009, Li-Ning telah menjadi penaja rasmi pasukan badminton kebangsaan China yang akan mempertahankan kejuaraan Piala Thomas dan Uber tahun ini.
Pengurus Besar Li Ning Group bagi Operasi Asia Tenggara, Vivien Lim berkata, sempena dengan pelancaran tersebut, Li Ning Company dan Sunlight Marketing (Sports) Sdn. Bhd, selaku pengedar rasminya di Malaysia, mengumumkan tajaan bernilai RM60,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan bagi menyokong program pembangunan badminton junior di peringkat akar umbi.
Program ini dikendalikan bersama oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia Kuala Lumpur (MSSSMKL).
'' Penceburan jenama Li-Ning dalam pasaran Malaysia menandakan satu langkah penting dalam usaha bagi meluaskan kehadirannya di pasaran antarabangsa.
'' Selepas mengukuhkan kedudukan sebagai jenama sukan terulung di China dalam tempoh dua dekad lepas, kami telah menetapkan Asia Tenggara sebagai pasaran luar negara utama.
" Kami percaya badminton yang mempunyai ramai peminat di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara ialah landasan yang terbaik bagi memperkenalkan jenama Li-Ning memandangkan peminat badminton pasti mengenali kami daripada tajaan profil tinggi kami dengan pasukan badminton kebangsaan China.
'' Li-Ning merupakan salah satu daripada empat jenama sukan terkemuka di dunia dengan produk yang dijual di seluruh China, Asia Tenggara, Asia Tengah, Eropah dan rantau lain,'' katanya yang ditemui pada majlis pelancaran di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Li-Ning juga telah menaja beberapa orang atlet yang dihormati sebagai sebahagian daripada inisiatif kesedaran jenama global.
Ini termasuk bintang bola keranjang seperti Baron Davis, Shaquille O'Neal dan Jose Calderon, atlet lompat galah wanita juara dunia dari Rusia, Yelena Isinbeva, perejam lembing nombor satu dunia Andreas Thorkildsen dari Norway dan bintang tenis Croatia, Ivan Ljubicic.
Menurut Lim, beliau yakin produk Li-Ning yang dihasilkan berasaskan penyelidikan dan pembangunan intensif dan berasaskan konsep reka bentuk asli akan mendapat sambutan yang baik di pasaran Malaysia.
Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh pengasas Li-Ning, Li Ning, johan perseorangan badminton lelaki Sukan Olimpik Beijing 2008, Lin Dan, pasukan badminton kebangsaan China dan ketua jurulatihnya, Li Yong Bo.
- Utusan Malaysia -
|
|