Erra Fazira Terkejut Gosip Dirisik, Kahwin Shahir (AF8) Aidilfitri Depan
Aktres Erra Fazira terkejut dengan gosip terbaharu kononnya sudah dirisik juara Akademi Fantasia ke lapan (AF8) dan bakal melangsungkan perkahwinan selepas Aidilfitri depan. Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 42, berkata, sekiranya benar seperti apa yang didakwa, dia sebagai empunya diri seharusnya lebih tahu mengenai hal itu.
“Dulu pun pernah kecoh pasal isu ini tapi tiada apa-apa pun yang berlaku antara kami, bukan? Sama juga dengan spekulasi kali ini. Kalau benar ada rombongan merisik itu, kenapa saya tidak tahu? Sepatutnya sebagai empunya diri saya perlu tahu kiranya di pihak sana berhajat tentang perkara itu. Benar, kami memang berkawan rapat. Adatlah bila berkawan adakalanya akan melalui fasa-fasa seterusnya dan apa fasa-fasa itu biarlah saya sendiri yang simpan.
"Berkongsi sesuatu yang masih tidak pasti ianya jadi tidak manis. Jadi saya tak nak komen lebih,” katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Erra bagaimanapun tidak menafikan dia dan Shahir kerap berhubung secara atas talian namun tidak bersedia untuk berkongsi kepada umum apakah topik perbualan mereka. “Sebagai kawan, bukanlah sesuatu yang pelik untuk kami bertanya khabar dan saya harap perkara ini tidak perlu dijadikan isu.
"Begitu juga soal Shahir menyepi kebelakangan ini. Ia tiada kaitan dengan saya kerana sebelum kenal saya lagi, Shahir sudah ambil sikap untuk lebih low profile,” katanya.
|