|
Ni berita kat Utusan Online...tapi tak ada nama HAFIZ....
Kita terap semangat 1Malaysia
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
[email protected]
Gambar MOHD. NAIM AZIZ
Rais Yatim (kiri) ketika melancarkan logo muzikal Kita (Kita - The Musical) sambil diperhatikan oleh Koh Tsu Koon pada sidang akhbar di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------
DALAM membangkitkan rasa cinta terhadap negara dan semangat perpaduan antara kaum, ramai yang beranggapan seni adalah salah satu jalur terbaik dalam usaha menterjemah perpaduan rakyat di negara ini.
Menyedari betapa utuhnya aura seni itu sendiri, dalam konteks melebarkan pengertian dan semangat 1Malaysia, di bawah penganjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional - Jabatan Perdana Menteri, Istana Budaya serta Xiyue Art dan Culture, teater muzikal Kita (Kita The Musical) diilhamkan.
Di bawah naungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, perancangan rapi muzikal Kita telah dimulakan sejak Ogos tahun lalu.
Persembahan yang bakal dipentaskan selama 10 hari bermula 17 hingga 27 Jun ini di Istana Budaya diarahkan oleh Ho Ling Huay yang pernah menghasilkan muzikal terbesar pertama tempatan, Prince Siddhartha The Musical dan Jewel Of Tibet The Musical.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, hasrat kerajaan mementaskan teater muzikal itu ialah untuk menyemi nilai-nilai perpaduan di kalangan rakyat negara ini.
Hasrat itu mendapat sokongan penuh daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
"Kita telah mula berbincang tentang muzikal ini sejak Ogos tahun lalu dan meminta nasihat serta pandangan daripada beliau (Rais) yang sangat-sangat positif terhadap hasrat ini dan memberi sokongan padu," katanya Tsu Koon pada sidang akhbar baru-baru ini.
Pementasan yang melibatkan lebih 40 pelakon itu bakal memulakan sesi uji bakatnya dalam memilih pelakon utama pada 27 Februari (Sabtu) antara pukul 2 hingga 6 petang dan pada 28 Februari (Ahad) antara pukul 10 pagi hingga 4 petang di Istana Budaya.
Syarat-syarat yang ditetapkan untuk menjalani uji bakat mestilah berkebolehan menyanyi dan menari. Bakal pelakon juga diminta untuk membuat tarian pendek yang bakal ditentukan pada hari temuduga.
Warganegara Malaysia berbilang bangsa daripada semua golongan digalakkan menyertai uji bakat tersebut.
Untuk butiran dan maklumat lanjut, sila hubungi Chin di talian 012-632 3033 atau email kepada [email protected].
Muzikal Kita mengisahkan proses kematangan tiga rakan berlainan bangsa iaitu Rahman, Cheong dan Amish sejak di bangku sekolah.
Pelbagai kisah menyentuh soal harapan, kekhuatiran dan kekecewaan yang terpaksa dilalui mereka apabila berdepan kesusahan dan kehilangan insan tersayang.
Bagaimanapun, di sebalik kepayahan yang dilalui, mereka saling menikmati dan menerima perbezaan budaya sehingga menerbitkan perasaan cinta.
Meningkatkan seni teater
Sementara itu, Rais berkata, pementasan teater muzikal seperti yang itu mampu membuka mata pelbagai pihak.
Katanya, ia dapat dilihat berdasarkan statistik peningkatan jumlah tontonan teater dan muzikal pada tahun lalu apabila daripada jumlah keseluruhan 16 pementasan di Istana Budaya, seramai 108,788 penonton hadir memberi sokongan.
Jumlah tersebut merupakan satu pencapaian yang cukup meyakinkan dan menunjukkan masa depan cerah penerimaan teater di kalangan masyarakat.
Selama dua minggu muzikal Natrah dipentaskan di pentas berprestij itu, jumlah tontonan mencecah 16,268 penonton.
Muzikal Puteri Gunung Ledang pula yang ditayangkan selama 19 hari mencatat jumlah tontonan seramai 22,169 penonton.
Muzikal Cuci yang dipentaskan selama 18 hari pula mencatat 11,363 jumlah tontonan.
Manakala Merchants Of Bollywood yang ditayangkan selama 16 hari berjaya menarik 13,951 penonton.
"Jika tumpuan diberikan untuk muzikal Kita, saya yakin tidak kurang daripada sasaran 15,000 penonton mampu diraih.
"Bagaimanapun, ia memerlukan usaha dan strategi pemasaran yang kukuh," kata Rais.
Ini salah satu usaha kerajaan dalam meningkatkan kegemilangan seni persembahan teater termasuk muzikal.
"Dengan mengetengahkan tema-tema teater yang mampu membuka mata ramai pihak secara tidak langsung dapat menggalakkan penghasilan idea dan tema-tema baru agar persembahan dan babak-babak menarik terhasil menerusi penulisan kreatif.
"Menerusi teater juga, persembahan dapat dilihat lebih majmuk dan mampu mencerminkan masyarakat di negara ini," kata Rais. |
|