|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2023-01-04_11-35-31_1672810986.jpg)
PENJUAL sayur menawarkan harga murah di Pasar Datuk Keramat. FOTO Fathil Asri
Kuala Lumpur: Kenaikan harga hasil sumber laut dan sayuran sejak tahun lalu menyaksikan peniaga membuat pelbagai cara untuk memikat hati pelanggan dan melariskan jualan.
Tinjauan di Pasar Chow Kit dan Pasar Keramat di sini mendapati segelintir peniaga menawarkan harga bajet apabila sayur dijual secara ikat atau hasil laut yang dilonggok dalam piring.
Peniaga sayur Pasar Keramat, Fary Affendi, 43, berkata, harga tinggi dikenakan pembekal sejak sebelum Disember tahun lalu menyebabkannya menjual sayur secara bajet untuk menarik kehadiran pelanggan.
"Memang harga sentiasa turun naik tapi kali ini agak terkejutlah (dengan kenaikan harga)...contohnya sawi, bayam dan kangkung naik ketara daripada RM2.50 ke RM3 satu kilogram (kg) sekarang RM7 ke RM8.
"Kita terpaksa akur dengan harga dikenakan pembekal kerana alasan mereka musim hujan dan banjir, tetapi kami yang tersepit kalau jual lagi murah rugi macam mana hendak bayar kos logistik, pekerja dan sebagainya tapi jual mahal pelanggan pula lari.
"Jadi, saya jual sayur bajet iaitu seikat RM2 atau tiga ikat RM5 boleh campur pelbagai jenis dapatlah untung 50 sen kadangkala cukup sekadar balik modal saja tapi tak apalah yang penting sayur laku kerana tak boleh simpan lama nanti busuk lagi rugi," katanya ketika ditemui, hari ini.
Dalam pada itu tinjauan di Pasar Keramat mendapati keadaan lenggang apabila kurang pelanggan.
Peniaga, Abdullah, 55, berkata, kenaikan harga ikan yang dikesan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lagi menyebabkan pelanggan semakin berkurangan.
"Dulu saya jual ikan kembung RM16 satu kg sekarang terpaksa jual antara RM20 ke RM25 mengikut saiz manakala jenahak dulu RM35 ke RM39 sekarang (RM45 ke RM50) satu kg.
"Trend pelanggan membeli pun berubah dulu berkilo-kilo sekarang orang beli bajet dalam beberapa ekor saja menyebabkan kita nak dapat 10 kg untuk sejenis ikan sehari pun payah.
"Sekarang saya hanya mampu menggaji seorang pekerja saja itupun nak bayar gaji tertunggak," katanya.
Peniaga ikan di Pasar Chow Kit, Fazlan Amran, 26, pula berkata, pembekal menaikkan antara RM2 hingga RM4 untuk ikan dan sumber laut lain seperti udang dan sotong.
"Jika sebelum ini ikan susu saya boleh jual RM16 satu kilogram (kg), tapi sekarang saya terpaksa jual dengan pelanggan kepada RM18 manakala ikan kisi sebelum ini cuma RM10 tetapi sekarang saya jual RM13.
"Macam udang dan sotong untuk saiz kecil dulu saya dapat dengan pembekal RM22 satu kg sekarang mencecah RM26.
"Kami juga akan jual longgok sepiring RM5 untuk sejenis ikan mengikut saiz bagi mempercepatkan stok habis dan cara ini nampaknya berkesan menarik minat orang membeli," katanya.
Suri rumah, Emy, 46, berkata, pengguna kena bijak membuat pilihan mengikut bajet serta isi rumah masing-masing bagi mengelak terbeban dengan kenaikan harga barangan pada masa ini.
"Kenaikan harga ini memang saya perasan pertengahan tahun lalu lagi tapi sejak musim tengkujuh ini nampak ketara juga kenaikannya.
"Terpulang masing-masing tetapi sebagai pengguna kita perlu membeli secara berhemah macam saya beli mengikut saiz ahli keluarga dan bekalan untuk tempoh seminggu atau dua minggu saja.
"Biasanya saya akan membeli sayur pada kuantiti sedikit atau ikat manakala hasil laut pilih beberapa ekor saja untuk sejenis atau secara longgok asalkan kualitinya masih elok dan segar saya tiada masalah," katanya yang menetap di Kampung Datuk Keramat.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... anggan-lari-peniaga |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|