|
.jpg)
Teks OLeh Ellyna Ali
Foto Oleh Baung
SHAH ALAM, 27 FEB 2010: Memang dahsyat sungguh penangan drama bersiri muzikal remaja Kau dan Aku (KDA) yang ketika ini masih lagi bersiaran di Astro Ria.
Ratingnya bukan saja mencanak naik tetapi ia telah berjaya mengumpul jumlah peminat yang besar. Rata-rata mereka dari golongan remaja dan kanak-kanak cilik yang gemarkan konsep cerita seperti itu.
Buktinya, suasana di Plaza Alam Sentral yang sebelum ini sentiasa sunyi dan hening tiba-tiba jadi penuh sesak dengan kemunculan bintang-bintang KDA seperti Aril, Akim, Mila, Noni, Amar, Anita Baharum dan Puteri Farah, pada Sabtu lalu.
Kehadiran mereka di situ adalah untuk menjayakan Konsert Mini Kau dan Aku yang dianjurkan pihak Astro sebagai satu cara untuk menghargai serta mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang selama ini memberi sokongan terhadap kabal TV berbayar itu.
Lebih membanggakan apabila kehadiran mereka telah berjaya mengumpul lebih daripada 5,000 penonton yang mahu melihat aksi dan persembahan mereka menyanyi serta menari secara live dalam konsert tersebut.
Sebagaimana yang dijangka, Aril dan Akim telah berjaya mencuri tumpuan yang lebih berbanding bintang KDA yang lain. Ia seolah-olah seperti mengimbau semula fenomena yang pernah mereka cetuskan sewaktu masih berada di dalam Akademi Fantasia Musim Ke-7 (AF7) dulu.
Hal ini jelas dapat dilihat menerusi tepukan serta sorakan gemuruh yang diterima oleh mereka setiap kali membuat kemunculan di atas pentas mahu pun ketika mereka sibuk beraksi dengan lagu masing-masing.
Aril telah membawakan lagu Menatap Matamu serta Lelaki yang turut diiringi bintang KDA perempuan yang lain, manakala Akim pula menerusi lagu Bengang yang turut menyaksikan kemunculan Noni di atas pentas.
Kedua-dua bintang AF7 ini kemudian membuat persembahan duet menerusi lagi Kita Menang yang menampilkan mereka sebagai jurucakap produk The Brands.
Sebelum itu, mereka telah membuka tirai persembahan dengan lagu Kisah Kita Berdua bersama seorang lagi bintang utama KDA iaitu Mila.
Mila yang juga juara AF5 turut mendapat perhatian apabila muncul bersama Amar menerusi lagu Kau Dan Aku yang disampaikan secara akustik. Lebih menarik bila Amar sendiri yang memainkan lagu menerusi petikan gitar akustiknya.
Mila turut menyampaikan lagu Menanti serta Jika Kau Ubah Fikiran yang turut menyaksikan dirinya keliru untuk memilih Aril mahu pun Akim.
Dan seperti yang ditunggu-tunggu, Mila kemudian kembali beraksi dengan Akim menerusi lagu Kau Dan Aku dengan iringan semua bintang KDA yang lain.
Sebaik saja lagu Kau Dan Aku itu berakhir, peminat mereka masih tidak bersurai serta tidak terus pulang. Sebaliknya, ramai yang masih berasak-asak untuk berjumpa dengan mendapatkan tandatangan mereka dalam sesi bertemu peminat yang diadakan sejurus selepas itu.
Credits: murai.com.my |
|