Polis mengklasifikasikan semula kes kemalangan jalan raya di Jalan Penang awal pagi Selasa lalu, sebagai kes bunuh.
Kenyataan itu disuarakan oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid dalam satu sidang media yang diadakan kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun, berbangsa India dikenali sebagai S Muniandy ketika itu sedang menaiki motosikal jenis Honda EX5 mati di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah kereta.
Selepas meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian, menurut Asisten Komisioner Mior, pihaknya mendapati mangsa dilanggar sebanyak dua kali selain turut ditumbuk oleh pemandu dan seorang penumpang kereta terbabit.
"Pada awalnya polis mengklasifikasikan ia sebagai kemalangan biasa. Namun, kenyataan seorang wanita kepada pihak media yang mendakwa mangsa adalah seorang peragut didapati meragukan."
"Susulan itu, seorang wanita berumur 29 tahun yang terbabit ditahan dan hasil siasatan mendapati terdapat unsur bunuh dalam kes kemalangan berkenaan."
Sehubungan itu, polis sedang memburu pemandu dan penumpang, yang masing-masing berumur 30-an.
Katanya, motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- CARI