Gara-gara diserang histeria
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/01/304112/gara-gara-diserang-histeria
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 5:05 PM
Nazdy Harun
[email protected]
LOKASI pelajar itu terjatuh. FOTO Ihsan PDRM
PELAJAR tingkatan lima cedera selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagor, Kuala Berang dalam kejadian pagi hari ini.
Pelajar perempuan berkenaan dipercayai diserang histeria sebelum terjatuh dari beranda bangunan sekolah setinggi kira-kira empat meter.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian 7.20 pagi itu menyebabkan pelajar berkenaan cedera di kepala serta badan dan kini sedang dirawat di Hospital Hulu Terengganu (HHT).
Menurutnya, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian terbabit kira-kira 10 pagi sebelum pegawai penyiasat dan pegawai perhubungan sekolah melawatnya di HHT.
Katanya, dalam lawatan itu mendapati pelajar berkenaan berada dalam keadaan stabil dan kecederaan yang dialaminya tidak serius.
"Berdasarkan maklumat awal yang kami terima, pelajar berkenaan mengalami kemurungan sejak dua tahun lalu dan pernah dihantar oleh bapanya ke Madrasah Khairul Insan, Jenagor untuk tujuan rawatan bagi memulihkan keadaannya itu.
"Pelajar berkenaan juga sebelum ini belajar di SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu sebelum dipindahkan ke SMK Jenagor pada 3 Januari lalu.
"Kami difahamkan keluarga pelajar terbabit memindahkannya kerana adiknya berusia 16 tahun berada di SMK Jenagor sekali gus membolehkannya memantau keadaan mangsa," katanya.
Menurutnya, bapanya memaklumkan mangsa turut mengalami masalah halusinasi dan juga sudah dua kali dipindahkan sekolah kerana masalah yang dialaminya itu.
|