|
Lelaki berusia 19 tahun berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas didakwa membelasah anak kekasihnya hingga maut hanya kerana kanak-kanak itu menumpahkan jus di atas permainan Xbox miliknya.
Jonathan Fair, 19, dari Waukegan, Illinois didakwa atas empat pertuduhan membunuh pada Rabu lalu dan mahkamah menetapkan jaminannya sebanyak ASD5 juta (RM20,487,500), lapor Lake County News-Sun.
Daily Mail melaporkan, dalam kejadian pada malam 13 Disember lalu, Fair dikatakan sedang menjaga Skylar Mendez, 4, ketika ibu mangsa tiada di rumah sebelum memukul kanak-kanak perempuan itu kerana menumpahkan jus di atas Xboxnya.
Fair kemudian membawa mangsa ke hospital dan memberitahu doktor bahawa Skylar terjatuh dan terhantuk kepalanya.
Namun, ketika disoal siasat, lelaki berkenaan mengaku dia menggoncang tubuh dan memukul kanak-kanak terbabit sebagai hukuman kerana telah menumpahkan jus berkenaan.
Hasil pemeriksaan juga mendapati mangsa menunjukkan kesan penderaan termasuk diterajang beberapa kali. Doktor di Hospital Kanak-kanak Lurie di Chicago cuba menyelamatkan Skylar, namun gagal.
Kredit foto: Daily Mail
Pada mulanya, keluarga mangsa percaya kematian Skylar adalah satu kemalangan. Namun, sebaik menyedari ianya satu pembunuhan, mereka menyifatkan lelaki terbabit seorang yang tidak berperikemanusiaan. - CARI |
|