Seorang lelaki merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan terpaksa mencuri kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selain bakal menyambut kelahiran anak tidak lama lagi.
Kredit foto: Harian Metro/NSTP
"Saya betul-betul minta maaf, saya bukan sengaja mencuri,” rayunya seperti dipetik daripada Harian Metro.
Tertuduh, Voon Kong Yaw, 36, mengaku bersalah kerana mencuri di hadapan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.
Kong Yaw didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Atas kesalahan itu, Kong Yaw dihukum penjara 45 hari serta denda RM1,000 dan jika gagal membayar denda, hukuman penjara akan ditambah selama tiga minggu.
Mengikut fakta kes, Kong Yaw, didapati mencuri mesin generator dari sebuah kereta di Batu 7, Jalan Tuaran, jam 12 tengah hari pada 14 Januari lalu.
Dalam kejadian, mangsa berusia 40 tahun dikatakan meninggalkan kenderaan untuk meminta rakannya mengalihkan kenderaan yang menghalang laluan masuk ke premis alat ganti berkenaan.
Ketika kembali ke kenderaannya, tertuduh dilihat sedang mengangkat sebuah mesin generator masuk ke dalam kereta sebelum melarikan diri.
Sejurus menerima panggilan daripada mangsa untuk mendapatkan bantuan, tertuduh kemudian berjaya dipintas di Jalan Tuaran By Pass. - CARI |