TNB membuka kaunter khas bagi menyiasat aduan pelanggan tentang caj penggunaan elektrik yang naik mendadak. Kredit foto: TNB Careline
Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh dihadapkan ke mahkamah sekiranya gagal menyelesaikan aduan orang ramai berhubung bil elektrik terkini mereka yang tiba-tiba naik mendadak.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, langkah itu adalah pilihan terakhir yang boleh diambil oleh Suruhanjaya Tenaga sekiranya syarikat utiliti nasional tersebut tidak memberi layanan yang adil kepada pelanggan-pelanggan terbabit.
Beliau menyarankan agar orang ramai yang berdepan masalah itu menyalurkan aduan mereka kepada cawangan-cawangan TNB yang berdekatan terlebih dahulu.
"Yang penting, pengguna-pengguna pergi ke TNB, kalau tak dapat, datang ke Suruhanjaya Tenaga untuk membuat aduan.
"Kita akan memastikan semua orang didengari dan untuk saya, TNB perlulah bertanggungjawab," katanya seperti dipetik daripada rakaman video sidang media yang disiarkan dalam laman Facebook beliau pada 28 Mei.
Yeo Bee Yin. Kredit foto: Facebook
Baru-baru ini, ramai pelanggan TNB di seluruh negara berang apabila mendapati caj penggunaan elektrik mereka dalam bil elektrik terkini meningkat berlipat ganda berbanding bulan-bulan sebelumnya.
Bee Yin menambah, ST diberi masa 14 hari untuk menyiasat isu tersebut dan setakat ini, pihaknya tidak berpuas hati dengan penjelasan TNB bahawa kenaikan itu adalah berpunca daripada tempoh bil selama 38 hari.
Beliau turut menjelaskan, kenaikan caj penggunaan elektrik tiada kaitan dengan kenaikan tarif elektrik atau pemasangan meter pintar.
Meter pintar bukan punca bil elektrik melambung tinggi. Kredit foto: Facebook TNB Careline
Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, Suruhanjaya Tenaga mengesahkan terdapat kecuaian teknikal dalam isu bil elektrik melambung tinggi.
Harap TNB mengambil pengajaran dari isu ini agar tidak lagi timbul masalah yang menyusahkan pelanggan-pelanggannya pada masa hadapan. - CARI |