Menangkap ayam yang dibela sendiri merupakan salah satu aktiviti keluarga menjelang Hari Raya Aidilfitri satu ketika dahulu (gambar hiasan).
Kredit foto: Astro Awani
Bagi generasi yang dilahirkan sekitar 1960-an atau 1970-an, suasana menjelang Hari Raya Aidilfitri ketika mereka membesar adalah sangat jauh berbeza dengan apa yang dialami anak dan cucu mereka pada masa kini.
Kemeriahan dapat dirasakan pada minggu terakhir Ramadan di mana persiapan untuk menyambut hari raya semakin rancak dilakukan.
Kini, banyak aktiviti yang dahulunya berlaku sepanjang tempoh tersebut tidak lagi diamalkan dan boleh dikatakan hampir pupus.
Kredit foto: DariDapur.Com
1. Membuat kuih raya bersama keluarga
Tugas menyiapkan bahan-bahan serta mengadunnya dilakukan ibu, manakala anak-anak diberi tanggungjawab seperti menerap biskut mengikut acuan dan memasukkan kuih yang sudah dibakar ke dalam tin atau balang.
Kini, ramai yang lebih gemar membeli kuih dan biskut raya yang dijual di pelbagai tempat sehingga menyebabkan banyak rumah dikunjungi mempunyai koleksi juadah yang hampir serupa dan sama rasanya.
Kredit foto: Harian Metro
2. Pasang pelita sekeliling kampung
Cahaya dari deretan pelita minyak tanah yang dipasang pada tiang dahulu menerangi kawasan sekitar kampung mulai 10 malam terakhir Ramadan bagi meraikan malam tujuh likur.
Walaupun masih ada penduduk kampung yang menyalakan pelita, jumlahnya semakin berkurangan dan mungkin hanya untuk menyertai pertandingan sahaja.
Harga minyak tanah yang semakin mahal juga mungkin menyebabkan ramai yang berfikir dua kali untuk menyalakan pelita setiap malam.
Kredit foto: Astro Awani
3. Kad raya
Kad raya sama ada yang dibeli atau buatan sendiri dikirimkan sebagai pengganti diri bagi mereka yang tinggal berjauhan dari insan-insan tersayang dan rakan-rakan.
Boleh dikatakan posmen dahulu tidak menang tangan bagi memastikan kad raya yang dikirimkan dapat dihantar kepada penerima sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Seiring perkembangan teknologi hari ini, ramai yang lebih gemar mengirimkan kad raya elektronik atau menghantar ucapan Selamat Hari Raya melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial seperti Facebook dan Instagram.
Kredit foto: The JonJenin Site
4. Majalah edisi khas bumper raya
Satu ketika dahulu, boleh dikatakan hampir semua majalah yang tarikh siarannya hampir dengan Hari Raya Aidilfitri diterbitkan dalam edisi bumper yang lebih tebal dan mengandungi banyak bahan menarik untuk dibaca.
Walaupun harganya agak mahal, majalah-majalah seperti Gila-Gila, Ujang, Apo dan Gelihati serta majalah-majalah hiburan dan wanita laris bagai pisang goreng panas sehingga menyebabkan ramai pembaca setia terlepas peluang untuk memilikinya.
namun kini, lebih ramai yang suka membaca artikel dalam talian daripada membelek majalah sebenar.
Kredit foto: Carian Google
5. Berebut naik bas loncat
Apabila tiket bas ekspres habis dijual, pilihan yang tinggal hanyalah bas henti-henti atau lebih popular dengan gelaran 'bas loncat'.
Cabaran untuk menggunakan bas loncat adalah amat besar kerana sebahagian besar penumpang lebih gemar berebut daripada beratur mengikut giliran.
Pelbagai taktik digunakan untuk 'chup tempat' termasuk mencampakkan dahulu beg pakaian ke dalam bas melalui tingkap yang terbuka. Yang peliknya, penumpang-penumpang lain bersikap 'gentleman' dan tidak mengambil kerusi yang telah 'ditempah' itu.
Sayu juga apabila mengimbau kembali nostalgia suasana menjelang Hari Raya Aidilfitri yang semakin luput ditelan zaman. - CARI |