Di kala umat Islam sedang sibuk menghadiri jemputan Rumah Terbuka, berita ini (walaupun bukan baru) pastinya mengejutkan kita semua. Kali ini dengan fakta yang lebih menakutkan.
Menurut laporan berita televisyen, rakyat Malaysia bukan sahaja menjuarai carta obesiti dalam kalangan penduduk di negara di Asia, malahan kedudukan tersebut kekal sejak 2015 lagi meninggalkan negara-negara lain.
Lebih menyedihkan menurut laporan tersebut, tiga kawasan/negeri dilabelkan paling tinggi kadar obesitinya iaitu di Putrajaya (62.8%), Melaka (53.7%) dan Perlis (52.5%). Persoalannya mengapa tiga negeri ini didakwa ramai orang gemuk? Makan sedap sangat atau malas bergerak?
Rupa-rupanya statistik tersebut bukan sahaja disumbangkan oleh tiga negeri terbabit sahaja, kerana negeri-negeri lain turut mengalami masalah sama. Negeri lain seperti Negeri Sembilan (51.2%), Kedah (50.6%) dan Johor (49.1%) turut berada di dalam carta manakala negeri lain turut dalam carta iaitu 40 peratus ke atas.
Sudahlah begitu, dilaporkan juga yang Malaysia jauh meninggalkan negara-negara lain termasuklah Thailand di tempat kedua dengan perbezaan sebanyak 12%. Ini statistik yang menakutkan kerana sebenarnya setelah dibuat penelitian, rupa-rupanya 73% kematian dihospital adalah berpunca daripada penyakit berkaitan obesiti.
Bagaimanapun menurut laporan daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad sebenarnya statistik tersebut bukanlah di Asia Tenggara tetapi di Asia secara keseluruhan.
Kredit foto: Twitter
Sementara itu warganet turut memberi komen yang mengusik penduduk negeri-negeri tertentu.
"utrajaya orang gomen ja, kerja tak banyak, makan tak kira masa, tu pasal obes."
"Sebab tu Perlis ada 9 orang ja, sebab banyak makan space."
"Sebab Melaka ada asam pedas dan Keria antarabangsa lah, tempat korang ada apa?"
Kredit foto: Twitter
Jadi, sesuatu harus dilakukan bukan sahaja di 3 negeri terbabit tetapi juga di keseluruhan negeri di Malaysia. Mungkin perlu mulakan dengan hanya makan beberapa juadah sahaja di majlis Rumah Terbuka. Kemudiannya ajak keluarga dan rakan-rakan untuk sama-sama menjaga kesihatan. Jika bukan kita, siapa lagi. - CARI
|