Afdlin Shauki merayu bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat tentang kemalangan melibatkan adiknya. Kredit foto: Instagram
Pelakon, Datuk Afdlin Shauki merayu bantuan orang ramai yang menyaksikan insiden kemalangan langgar lari melibatkan adiknya, Jeffri Adzman pada 9 Jun lalu agar tampil menyalurkan maklumat kepadanya.
Rayuan itu dibuat melalui rakaman video yang dimuat naik ke akaun Instagram beliau @afdlinshaukiofficial pada 11 Jun.
Jeffri Adzman yang menunggang skuter jenis Vespa dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Myvi di lokasi berhampiran stesen minyak Petronas di Kota Damansara, Selangor.
Afdlin Shauki menjelaskan, adiknya telah menjalani pembedahan selama empat jam di sebuah hospital di Kota Damansara bagi membuang pendarahan dalam otaknya namun keadaannya masih kritikal.
Afdlin Shauki menunjukkan lokasi kemalangan. Kredit foto: Instagram
"Saya nak minta bantuan, kalau sesiapa yang ada video dash cam, kamera yang nampak kejadian atau pun sesiapa yang nampak kejadian perlanggaran motor adik saya di situ dengan Myvi colour hijau, boleh tak tolong PM saya ke?
"Kalau boleh nak dapatkan video dash cam itu atau sesiapa yang nampak perlanggaran itu bolehlah mintak, mintak tolong bantu saya pasal perlanggaran ini," katanya seperti dipetik daripada rakaman video berkenaan.
Dalam rakaman video tersebut, Afdlin Shauki turut menunjukkan persimpangan lampu isyarat berhampiran stesen minyak Petronas Kota Damansara yang merupakan lokasi kemalangan.
Terdahulu, melalui entri berasingan dalam akaun Instagram miliknya, Afdlin Shauki mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesembuhan kepada Jeffri Adzman.
"Dia adalah adik yang terbaik yang mana-mana abang akan ada," katanya.
Kredit foto: Instagram
Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu seharusnya menyalurkan maklumat kepada Afdlin Shauki atau pihak polis atau lebih baik lagi sekiranya individu yang terlibat dalam insiden berkenaan tampil memberi keterangan di balai polis. - CARI
|