Bulan syawal yang semakin tiba ke penghujung pasti membuatkan anda merindui juadah istimewa yang hanya dihidangkan setahun sekali seperti ketupat ,lemang dan sebagainya, betul tak?
Namun, bagi anda yang masih belum berkesempatan menjamah lemang di pagi Aidilfitri, jangan risau kerana ada jalan penyelesaiannya!
Tak perlu beli mahal-mahal kerana resipi lemang DIY ini sangat mudah disediakan dan anda tidak perlu bersusah payah menebang buluh untuk menghasilkannya. Ini kerana, anda hanya memerlukan tin kosong dan daun pisang. Mudah, kan?
Resipi ini telah dikongsi di FacebookMasak Apa Hari Ni (MAHN) dan mendapat ribuan tanda suka dan kongsi. Jom kita tengok cara penyediaannya.
Penyediaan bahan yang ringkas
Tin minuman
1 kilogram beras pulut
1/2 kilogram santan pekat (tambah sedikit air untuk samakan dengan pulut)
Sedikit garam
Langkah-langkah penyediaan lemang dalam tin
1. Basuh tin minuman dan masukkan daun pisang.
2. Basuh beras pulut dan masukkan ke dalam tin 3/4 penuh.
3. Masukkan santan sama paras dengan beras.
4. Masukkan tin ke dalam periuk Noxxa dan masukkan sedikit air ke dalam periuk suku dari tin.
4. HP selama 30 minit dengan Noxxa
5. Keluarkan wap, alihkan ke dalam ketuhar dan bakar selama 15-20 minit pada 200 darjah Selsius.
6. Bila dah siap, tunggu sejuk sebelum lemang dikeluarkan dari tin.
7. Siap dihidang bersama rendang!
Tak ada periuk Noxxa? Boleh je guna ketuhar
Caranya, bakar terus menggunakan ketuhar pada suhu 180 darjah Selsius selama satu jam 30 minit. Anda juga boleh menggunakan pengukus selain periuk nasi biasa.
Siap! Boleh dihidangkan kepada para tetamu yang datang beraya
Mudah kan? Nak buat pun senang. Buat anda yang dikekang kesibukan dan tak sempat nak buat lemang buluh, bolehlah cuba lemang DIY ini. Dihidangkan pula dengan serunding, rendang ataupun ayam masak sambal. Wah, terangkat! Selamat mencuba! - CARI
|