Isu pendidikan memang sentiasa hangat diperkatakan. Sementelah lagi dengan kes rotan pelajar perempuan baru-baru ini menyemarakkan lagi masalah dalam dunia pendidikan. Terbaharu seorang warganet berkongsi dua keping gambar yang memaparkan pelajar sekolah lelaki dan perempuan menaiki trak polis untuk di bawa ke balai polis.
Kejadian yang dipercayai berlaku di Sandakan, Sabah ini menyaksikan puluhan pelajar ditahan oleh pihak polis kerana didakwa ponteng sekolah. Mereka ditemui di kawasan pusat beli belah dan sekitar bandar dengan mengenakan uniform sekolah. Sejajar itu, pihak polis meminta ibu bapa pelajar berkenaan datang sendiri ke balai untuk menjamin mereka.
Persoalannya, perlukah polis diberi tangungjawab sebegini sedangkan tugas asasi mereka adalah menjaga keamanan negara? Di manakah peranan ibu bapa dan guru hingga tidak dapat mengawal situasi ini?
Kredit foto: Twitter
Rata-rata warganet bersetuju dengan peranan terbaharu pihak polis ini. Secara tidak langsung ia membuatkan para pelajar berasa takut untuk melakukan kesalahan yang sama selepas ini.
Bagaimanapun, mengenali sikap ibu bapa sekarang yang terlalu protektif juga turut merisaukan. Ini kerana ramai yang takut ibu bapa akan hilang pertimbangan lalu menyalahkan pihak polis di atas penangkapan anaknya itu.
Kredit foto: Twitter
Sementara yang lain pula memberi pandangan bahawa ponteng adalah perkara yang normal kepada mereka. Cuma ketika itu mereka bijak menggunakan peluang yang ada dengan menukar baju terlebih dahulu sebelum melepak di pelbagai tempat.
Kredit foto: Twitter
Namun, tidak semua bersetuju dengan campur tangan pihak polis ini. Bagi mereka kesalahan ponteng bukanlah kesalahan yang terlalu besar hingga perlu diangkut dengan lori polis. Ia dibimbangi para pelajar akan merasa ketidakadilan berlaku hingga mendorong mereka melakukan kesalahan yang lebih besar.
Anda ada kisah ponteng? Setujukah anda dengan tindakan polis ini atau biarkan ianya ditangani oleh pihak sekolah? - CARI
|