Kalau dibiarkan, manusia semakin lama semakin ekstrem. Fesyen bertindik sudah semakin luas, yang pada asalnya di telinga, hidung, lidah, dan ada juga yang bertindik di kemaluan!
Kini nampaknya, fesyen bertindik sudah mula sampai ke bahagian mata. Seorang wanita, Lucy Luckayanti dari New York telah mencipta rekod dengan menjalani pembedahan kecil menanam aksesori platinum berbentuk hati di dalam bebola matanya. Pembedahan itu menelan kos sebanyak 3000 USD namun menurut Lucy, dia langsung tidak menyesalinya.
Kredit foto:life.shared
Pembedahan itu dijalankan oleh seorang pakar bedah mata di New York, Dr Emil Chynn, di dalam bilik kaca di pusat rawatannya, agar orang yang lalu-lalang dapat menyaksikan sendiri proses itu.
Kredit foto: life.shared
Menurut Chynn, prosedur pembedahan itu sangat mudah dan ringkas. Dia hanya menggunakan gunting kecil untuk mengoyakkan sedikit sahaja lapisan membran yang menyelaputi mata putih pesakit. Kemudian, dia hanya menyelitkan sahaja aksesori tersebut ke dalam bahagian mata pesakit. Potongan yang dibuat sangat kecil sehingga tiada jahitan pun diperlukan bagi pembedahan itu.
Pembedahan mata tersebut hanya mengambil masa 5 minit dan pesakit akan sembuh dalam masa tiga hari, serta akan dapat melihat dengan sempurna tanpa merasakan apa-apa objek berada di dalam mata.
Chynn berkata dia pada ketika itu sedang mencari pesakit pertama yang sanggup menjalani pembedahan aksesori mata, dan Lucy muncul tepat pada masanya. Dia pada awalnya berhasrat untuk mencari mana-mana selebriti untuk menjalani pembedahan itu.
Chynn juga turut menyatakan, pesakit boleh memilih untuk membuang aksesori itu dengan menjalani kaedah pembedahan yang sama dalam masa 5 minit sahaja.
Kredit foto: life.shared
Walaupun Dr Chynn sangat menekankan bahawa prosedur itu selamat dijalankan, pihak Akademi Ophtalmology di Amerika menegah orang awam daripada menjalani pembedahan aksesori mata kerana tiada bukti yang menyokong bahawa ia selamat. Selain itu, banyak lagi kemungkinan yang boleh berlaku seperti pendarahan dan jangkitan pada mata.
Hari ini, harga bagi pembedahan aksesori mata sudah makin melonjak. Bagaimana jika trend ini sampai ke Malaysia? Mungkinkah ramai anak muda yang akan menjebakkan diri? - CARI