Masa depan pemilik tanah Kampong Bharu dan waris-waris mereka menjadi tanda tanya berikutan keputusan kerajaan untuk membangunkan semula kawasan itu. Kredit foto: Malaysiakini
Semua pemilik tanah di Kampong Bharu, Kuala Lumpur dan waris-waris mereka berdepan kemungkinan hilang pegangan terhadap hartanah masing-masing berikutan situasi 'mentimun dan durian' yang ditimpakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap mereka.
Memetik notis daripada Persatuan Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampong Bharu (PPTWT.KB) bertarikh 23 Julai 2019 yang tular dalam media sosial, mereka diberi beberapa pilihan iaitu pembelian tanah secara sukarela atau kerajaan akan menggunakan kaedah undang-undang atau kedua-duanya sekali.
Notis yang ditandatangani Setiausaha PPTWT.KB, Zainudin Ismail itu menyatakan bahawa semua pemilik tanah dan waris-waris terbabit perlu membuat keputusan sebelum sesi dialog bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad diadakan di Dewan Felda, Jalan Semarak pada 21 September depan.
Khalid Abdul Samad dijadualkan menghadiri sesi dialog. Kredit foto: Facebook
Walaupun mereka bebas membuat pilihan, PPTWT.KB membangkitkan isu-isu kritikal akibat tindakan pengambilan oleh kerajaan PH untuk membangunkan Kampong Bharu.
Antara isu-isu yang dikatakan tidak memberi kelebihan kepada pemilik-pemilik tanah adalah mereka akan kehilangan hak terhadap tanah yang diwarisi sejak lebih 100 tahun lalu untuk selama-lamanya.
Selain itu, mereka juga perlu membayar cukai jualan tanah di mana jumlah berkenaan dipotong daripada bayaran pampasan yang diterima.
"emilik tanah akan dibayar wang berjuta ringgit dari hasil jualan tanah. Namun, wang ini perlu dibahagi-bahagikan kepada 50 ke 100 waris yang berhak.
"Jumlah wang jadi kecil ini tidak dapat beli rumah mampu milik sekalipun," jelas PPTWT.KB.
Turut disuarakan adalah kebimbangan tentang nasib mereka yang tiada tanah dan tempat tinggal setelah wang pampasan yang diterima habis digunakan.
"Kesan jangka panjang: Kampong Bharu akan terlepas kepada orang luar. Anak cucu akan merempat di kampung sendiri terpaksa sewa bangunan siap dibina," tambah persatuan itu.
Noti sesi dialog daripada PPTWT.KB bertarikh 23 Julai 2019. Kredit foto: Facebook
Diharapkan sesi dialog tersebut digunakan sewajarnya untuk mencari jalan penyelesaian bagi Kampong Bharu serta semua pihak yang terlibat.
Jika Chinatown di Jalan Petaling dan Little India di Brickfields dapat dibangunkan sebagai kawasan warisan kaum Cina dan India, elok juga Kampong Bharu dibangunkan semula sebagai kampung warisan Melayu di ibu kota dengan mengambil kira kepentingan para pemilik tanah dan waris-waris mereka. - CARI |