Seorang wanita mengaku bersalah menyebabkan kematian cucu lelakinya berusia lima tahun selepas meninggalkan mangsa di dalam kereta sementara dia menghabiskan masa di sebuah kasino selama enam jam.
Metro.co.uk melaporkan, Alanna Jean Orr, 50, mengaku bersalah pada Selasa atas kesalahan membunuh Maddox Ryan Durbin di luar Kasino Kickapoo di Harrah, Oklahoma, pada Jun, 2018.
Foto: Metro.co.uk/casino.org
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh tiba di kasino berkenaan pada jam 1.23 petang dan meninggalkan premis itu jam 7.28 malam kemudian.
Difahamkan, pada hari kejadian, cuaca dilaporkan panas sehingga suhu mencecah 32 darjah Celsius.
Wanita itu dikatakan menyedari cucunya tidak bernafas sebelum menghubungi talian kecemasan, namun dia mendakwa mangsa tercekik.
Pasukan paramedik yang tiba gagal menyelamatkan kanak-kanak itu kerana tubuh mangsa mulai mengalami rigor mortis (mengeras).
Menerusi postingnya di Facebook selepas kematian mangsa, Alanna menulis; "Terlalu banyak kenangan manis kita bersama dan kemudian nenek harus melihat kamu pergi meninggalkan nenek.
"Nenek sentiasa bersama kamu dan bersedih atas pemergian kamu," tulisnya.
Pada April lalu, Alanna didakwa atas kesalahan membunuh selepas kes itu disiasat oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI). Namun, tertuduh pada mulanya menafikan segala tuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Alanna juga dilaporkan mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah beberapa kali ditangkap.
Keputusan hukuman terhadap tertuduh akan ditetapkan kemudian dan dia berdepan hukuman penjara seumur hidup serta denda ASD250,000 (RM1.036 juta). - CARI |