Petang semalam kecoh seketika di media sosial Twitter apabila sebuah akaun daripada luar negara @agencialmais telah digodam oleh seorang individu yang dikenali sebagai limzhengyan.
Individu tersebut kemudian memuat naik status kicauan yang mengatakan sebuah 'bom' telah diletakkan dalam sebuah beg dan akan diletupkan di KL Sentral. Individu tersebut kemudiannya 'tag' beberapa akaun penting iaitu RapidKL, KTM dan juga PDRM.
Kicauan tweet tersebut telah mendapat pelbagai reaksi dan ternyata akaun yang di-'tag' oleh individu tersebut memberi respon pantas dengan meminta nombor telefon untuk dihubungi.
Bertindak balas dengan maklumat itu, pihak Polis Diraja Malaysia telah mengarahkan Unit Bom dan jentera anjing K9 untuk membuat pemeriksaan sekitar KL Sentral. Pusat Kawalan IPD Brickfields telah menerima laporan dan maklumat daripada pihak MRCB KL Sentral bahawa terdapat ancaman bom telah berlaku di kawasan terbabit.
Sehubungan dengan ancaman bom tersebut, operasi dan perniagaan sekitar KL Sentral telah ditutup sekitar jam 11 malam. Namun hasil siasatan mendapati tiada objek mencurigakan dijumpai dan dipercayai maklumat yang diperoleh daripada individu tersebut adalah palsu dan tidak benar. Ancaman bom yang dikatakan berada di Kedutaan Rusia juga dilaporkan palsu.
Kini pihak polis telah bekerjasama dengan MCMC untuk mengesan siapakah dalang di sebalik penyebaran berita palsu tersebut. Tweet asal ancaman bom tersebut juga telah dipadam.
Keadaan dilaporkan tenang dan terkawal.- CARI
|