Sebelum ini laporan akhbar menyiarkan tentang kanak-kanak lima tahun yang parah dihempap peti ais pada kepalanya pada 12 Julai lalu.
Khabar terbaharu buat adik Muhammad Fawwaz Adli itu, bapanya menyatakan anaknya mungkin mengambil masa lama sehingga 3 tahun untuk pulih.
“Doktor beritahu anak saya boleh pulih tetapi mungkin mengambil masa lama antara dua hingga tiga tahun,” kata bapa mangsa, Mohd Bukhari Zainal Annuar, 33.
Memetik laporan Harian Metro, pasangan suami isteri ini berkata mereka perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak sulung mereka kerana keadaannya yang tidak boleh bergerak dan berdiri itu.
Kredit foto: Harian Metro
"Kesan kecederaan dialami Muhammad Fawwaz agak serius hingga membuatkan dia tidak mampu bergerak dan berdiri seperti biasa. Makan pun perlu guna straw.
“Dia sudah menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dan perlu menjalani rawatan susulan selepas ini.
“Saya dan isteri tabah menghadapi dugaan ini dan berharap Muhammad Fawwaz dapat pulih seperti biasa,” katanya.
Terdahulu, kanak-kanak ini mengalami cedera parah di kepala selepas dihempap peti ais setinggi kira-kira 1.8 meter di rumah keluarganya di Nilai. - CARI |