Umat Islam di Malaysia dijangka akan menyambut Hari Raya Haji pada 11 Ogos ini iaitu pada Ahad. Seperti kebiasaan, tradisi sambutan Hari Raya Haji di Malaysia termasuklah solat Aidiladha, bermaaf-maafan, bersedekah dan ziarah-mengziarahi.
Tetapi, di negara jiran kita Indonesia, terdapat pelbagai cara unik diamalkan sesetengah umat Islam untuk merayakan Hari Raya Haji. Menurut portal Idntimes.com, terdapat beberapa cara sambutan tradisi yang diamalkan di negara jiran, termasuklah:
1. Mendandan Lembu Korban
Kredit foto: wartabromo
Cara unik mendandan dan menghiasi lembu yang akan dikorbankan ini dilakukan masyarakat Islam di Daerah Pasuruan, Jawa Timur. Lembu itu akan dimandikan dahulu, kemudian didandan dan dihiasi dengan bunga-bungaan, kemudian dipakaikan dengan kain putih.
Lembu itu kemudiannya diarak sekeliling kampung sebelum diserahkan kepada pihak masjid untuk dikorbankan.
2. Grebeg Gunungan (Tumpukan Hasil Pertanian)
Kredit foto: idntimes
Tradisi Grebeg Gunungan ialah membentuk tumpukan hasil tanaman menyerupai gunung sebelum diarak ke masjid berdekatan. Tradisi ini diamalkan
turun-temurun di Keraton oleh warga Yogyakarta.
Setelah tiba di masjid, bacaan doa akan dilakukan dan penduduk akan berebut hasil tanaman tersebut. Dikatakan, sesiapa yang berjaya mengambil tumpukan itu akan beroleh rezeki.
3. Apitan (Mengarak Hasil Bumi)
Kredit foto: idntimes.com
Tradisi yang hampir sama seperti di Yogyakarta, tetapi apitan merupakan perarakan hasil bumi di atas dulang dan diakhiri dengan doa. Setelah itu, hasil bumi tersebut akan direbutkan sebagai sedekah dan tanda syukur.
Tradisi ini diamalkan penduduk Semarang.
4. Menggendong Haiwan Korban
Kredit foto: idntimes.com
Di Maluku Tengah, warga Ambon mempunyai tradisi unik melaksanakan ibadah korban. Sebelum haiwan seperti kambing disembelih, ia akan digendong oleh pemimpin-pemimpin adat dan agama dengan kain dan diarak ke arah masjid dengan alunan doa dan selawat.
5. Meugang (Sedekah Daging Korban)
Kredit foto: idntimes.com
Menyerupai tradisi korban di Malaysia, orang Aceh akan berkongsi daging dan makanan lain dengan keluarga, sahabat handai dan disedekahkan kepada fakir miskin dua hari sebelum Hari Raya Haji.
Tradisi ini dipanggil Meugang, di mana penduduk menunjukkan rasa syukur selepas 11 bulan mencari nafkah.
6. Menjemur Tilam (Mepe Kasur)
Kredit foto: adira.co
Masyarakat Banyuwangi pula terutamanya yang tinggal di Desa Using akan menjemur tilam menjelang Hari Raya Haji. Mereka percaya amalan ini akan menjauhkan sebarang hal buruk daripada menimpa.
Biasanya diamalkan ketika cuaca cerah.
Demikian uniknya sambutan Hari Raya Haji oleh beberapa komuniti di Indonesia yang telah diamalkan turun-temurun. - CARI |