Penyanyi Mark Adam telah memuat naik video di Instagramnya memberikan kejutan dan merealisasikan impiannya memberikan hadiah sebuah rumah buat ibu tercintanya di Filipina.
Menurut Mark, impian tersebut telah disimpan sejak tahun 1996, iaitu 23 tahun yang lalu.
"Mak nanti bila saya dah besar saya akan belikan mak rumah, (1996). Terima kasih banyak-banyak kerana merealisasikan perkara ini isteriku. Tak pakai topi keledar sebab tempat rumah baru sangat dekat dengan rumah sewa lama mak di kampung. Dan mak masih tak percaya ini rumah baru dia. Syukur Alhamdulillah Ya Allah," tulis Mark di entri Instagramnya.
Kredit foto: Instagram Mark Adam
Terdahulu Mark turut menghadiahkan sebuah televisyen pintar bersaiz 65" buat ibunya.
Sejak kebelakangan ini ibunya sering bertanyakan mengenai Islam selepas suka melihat tingkah laku Mark selepas memeluk Islam.
"Ibu amat menyukai sikap saya sekarang dan dia beritahu banyak perubahan positif terhadap saya selepas memeluk Islam. Saya tidak akan memaksa ibu menukar agama tetapi jika dia memeluk Islam, saya manusia pertama yang gembira dan bersyukur," katanya.
Mark Adam dan isterinya Nor Azah Redzuan
Mark sering bercerita kepada ibunya mengenai kebaikan dan keindahan Islam dan berdoa agar ibunya mengikuti jejak langkahnya. Beliau memanjatkan rasa syukur kerana isterinya, Nor Azah Redzuan dan bapa mentua banyak membantu mengenai ajaran Islam sejak memeluk Islam beberapa tahun lalu.
Kerana mulia dan besarnya jasa yang sudah ibu bapa berikan kepada kita, berbuat baik kepada mereka dijamin pahala yang sangat besar disisi agama. Semoga makin murah rezeki Mark selepas ini. - CARI
|