|
Seorang lelaki dipercayai sarjan di penjara maut selepas terjun di Kilometer 5.4 Jambatan Pulau Pinang menghala Georgetown, malam tadi.
Lapor Harian Metro, kejadian 10.35 malam itu menyebabkan mangsa berusia 54 tahun meninggal dunia di lokasi akibat parah di seluruh badan selepas terhempas atas batu.
Foto: Harian Metro
Menurut laporan, terdapat kesan kecederaan di kaki kanan, siku kiri, dahi kanan dan belakang badan mayat yang ditemui dalam keadaan tertiarap di celah batu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang mengesahkan kejadian berkata, siasatan mendapati mangsa meninggalkan Proton Waja miliknya di tepi jambatan sebelum terjun.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa terjun pada ketinggian 70 meter dari atas jambatan.
Selepas diperiksa, sekeping kertas yang tertera alamat rumah dan nombor telefon bimbit abang serta adiknya ditemui di dalam kereta itu.
Difahamkan, polis kemudian memanggil dua pegawai di tempat kerjanya untuk membuat pengecaman mayat yang kemudian memaklumkan lelaki terbabit merupakan seorang sarjan di penjara dan sudah berkahwin serta memiliki empat anak.
“Mereka juga mendakwa yang lelaki terbabit sebelum ini ada mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Sungai Petani, Selasa, lalu serta di beri cuti sakit selama sehari.
“Si mati juga memaklumkan kepada mereka yang dia menghidap gastrik dan sukar tidur malam,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - CARI |
|