Gara-gara kekecohan yang berlaku semalam ketika aksi Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, pihak Indonesia memohon maaf kepada rakyat Malaysia.
Astro Awani melaporkan permohonan maaf itu dikemukakan oleh Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi secara peribadi kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dalam satu pertemuan di Jakarta pada Jumaat.
Kredit foto: Antaranews/ Tempo
“Kehadiran saya untuk menyampaikan langsung permohonan maaf atas nama masyarakat dan pemerintah Indonesia atas peristiwa tidak mengenakkan atas kekecohan yang dicetuskan oleh penyokong (Indonesia) seperti yang kita sama-sama lihat semalam," kata Imam.
Katanya lagi, pihaknya bersama Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia akan mengambil tindakan tegas kepada dalang di sebalik kekecohan semalam.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut berharap pelaku kekecohan itu akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
"Kami ucapkan terima kasih atas pendirian tegas Pak Imam (Nahrawi) untuk pastikan bahawa akan berlaku keadilan pada masa depan.
"Bahkan beliau (Imam) juga sudah berhubung dengan pihak polis untuk memastikan tindakan tegas akan diambil," katanya.
Terdahulu perlawanan dua pasukan Malaysia dan Indonesia di Jakarta semalam tercemar dengan insiden rusuhan yang dicetuskan penyokong tempatan. - CARI
|