Edited by EJALTI at 17-9-2019 09:34 AM
Taktik menangis pun tak dilayan
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/09/497649/taktik-menangis-pun-tak-dilayan
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:13 PM
Rizanizam Abdul Hamid
[email protected]
Antara kanak-kanak yang ditahan JIM dalam Ops Bersepadu di Jasin hari ini. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber.
WANITA pendatang asing tanpa izin (PATI) menangis teresak-esak sambil berjalan sejauh kira-kira 200 meter dengan mendukung anak perempuannya berusia dua tahun selepas ditahan dalam satu serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jasin hari ini.
Bagaimanapun, tindakan simpati wanita berusia 23 tahun itu untuk meraih simpati gagal ‘memujuk’ pegawai penguat kuasa JIM untuk melepaskannya.
Wanita itu ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah tapak pembinaan rumah di Jasin Bistari kira-kira 1 tengah hari.
Dia diminta kembali ke rumah kongsinya bersama anaknya itu sambil ditemani pegawai JIM untuk mengambil pakaian sebelum kedua-dua mereka ditahan.
Penolong Pengarah Imigresen Kanan (Ketua Bahagian Penguatkuasaan) Nar Azaman Ibrahim berkata, operasi membabitkan 39 pegawai JIM itu dibantu 30 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu tertumpu di dua tapak pembinaan rumah di Durian Tunggal, Alor Gajah dan Jasin Bistari, Jasin bermula 10 pagi hingga 2 petang.
“Hasil serbuan di kedua-dua lokasi, 92 pekerja asing warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Pakistan berusia antara dua hingga 46 tahun ditahan.
“Turut ditahan adalah pengurus lantikan (sub manager) lelaki berusia 28 tahun atas kesalahan melindungi pekerja asing mengikut Seksyen 55(B)(1) Akta Imigresen 1959,” katanya selepas tamat operasi bersepadu itu di Jasin hari iini.
Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa dan Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana berkerja secara tidak sah.
“Semua mereka dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Kita akan terus melaksanakan operasi seperti ini dari semasa ke semasa di bawah Program Pulang Ke Negara Asal (Back For Good) bagi memberi peluang kepada warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta lmigresen 1959/63 untuk pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.
|