Model kereta terbang Malaysia yang dipamerkan semasa LIMA 2019. Kredit foto: Carian Google
Perjalanan antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang hanya mengambil masa sejam sahaja dengan menggunakan kereta terbang yang dijangka akan disiapkan pada 2020.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tentang projek kapal terbang dalam sidang Dewan Rakyat pada 17 Oktober.
"Kita pergi ke Pulau Pinang perlukan empat jam sekarang, pihak swasta dan usahawan sedang berbincang dengan penyedia teknologi tinggi untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang dalam sejam menggunakan kereta terbang.
"Ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat pada 2020," katanya.
Mohd. Redzuan Md. Yusof. Kredit foto: Facebook
Redzuan menambah, prototaip yang dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan itu kini 85 peratus siap dan projek tersebut tidak melibatkan peruntukan kerajaan.
"Kerajaan tidak akan menanggung kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti dirancang," jelasnya.
Orang ramai menunjukkan kreativiti masing-masing dengan membuat spekulasi tentang rupa sebenar kereta terbang Malaysia. Kredit foto: Carian Google
Kereta terbang pertama yang dihasilkan di negara ini akan dilengkapi dengan komponen canggih yang dihasilkan di kilang Lynas di Kuantan, Pahang dan dijangka melakukan penerbangan sulung pada suku ketiga tahun depan.
Kerajaan juga perlu menguatkuasakan larangan membuang sampah keluar dari kereta terbang kerana objek keras seperti botol atau tin minuman boleh menyebabkan kecederaan kepada orang ramai di darat. - CARI |