Bingung! Mungkin itulah perkataan yang boleh menggambarkan perasaan seorang ibu apabila dimasukkan ke wad bersalin di sebuah hospital di Georgia bulan lepas, ketika ingin melahirkan anak kembarnya.
Mana tidaknya, kedua-dua jururawat yang menyambut anak kembarnya juga merupakan sepasang kembar seiras!
Ibu itu, Rebecca Williams mendapat tahu keadaan pelik itu tiga minit sebelum anak-anaknya dilahirkan melalui pembedahan caesarian.
Menurut stesyen TV Atlanta, WXIA TV, salah seorang jururawat itu, Tara Drinkard yang merupakan jururawat perbidanan di Pusat Perubatan Piedmont Athens Regional memaklumkan keadaan berkenaan kepada Rebecca.
Katanya, "Cuba teka? Saya ada sesuatu nak beritahu kamu. Saya ada kembar dan kami berdua akan membantu kamu melahirkan anak."
Tara Drinkard dan Tori Howard bersama bayi kembar yang disambut mereka.
Kredit foto: Huffington Post
Kembar jururawat itu, Tori Howard juga bekerja di hospital tersebut di unit jagaan rapi neonatal.
Tori memberitahu Good Morning America, "Untuk setiap kelahiran C section, kami akan dibantu jururawat NICU kerana ia mempunyai risiko yang lebih tinggi.
"Saya teruja untuk membantu kelahiran tersebut bersama kembar saya, tetapi saya tak terfikir pula yang kami akan menyambut kelahiran bayi yang juga pasangan kembar."
Apa yang lebih menarik adalah Tara dan Tori juga dilahirkan di hospital sama yang kini menjadi tempat mereka bekerja.
Suami Rebecca, Brannan Williams turut teruja apabila mendapat tahu yang anak-anaknya, Becca dan Emma telah disambut oleh sepasang kembar.
"Agak menarik juga kerana Tara sedang menjaga Becca di bilik bersalin, manakala Tori sedang menjaga Emma di NICU," katanya.
Menurut Facebook hospital tersebut, ini juga merupakan pertama kali bagi pasangan jururawat kembar itu bekerjasama dalam menyambut kelahiran.
Bayi kembar itu dilahirkan seawal 32 minggu dan dijadualkan akan keluar daripada hospital pada Khamis ini, tetapi itu bukan petanda mereka hanya akan menjadi kenangan kepada pasangan jururawat itu.
"(Tara dan Tori) telah menjadi sahabat kami.
"Saya tak sabar nak bagitahu anak-anak saya perkara ini suatu hari nanti dan semoga mereka dapat bertemu dan kekalkan hubungan ini," kata Brannan Williams kepada CNN. - CARI |